

DATUK Mohammad Razi Sitam dan Dato’ Dr. Richard Rapu ketika hadir pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Gelanggang Futsal, Kampung Tanjung Assam, semalam. Foto Abgsem Saribas
BETONG: Peruntukan berjumlah RM3.5 juta diperuntukan bagi kerja membaik pulih Jalan Tanjung Assam.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata projek tersebut adalah di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) untuk kerja penyelenggaraan jalan yang rosak.
“Projek baik pulih jalan ini sememangnya sangat dinantikan oleh penduduk dari Kampung Tanjung Assam dan sekitarnya bagi memudahkan lagi urusan harian mereka serta menikmati kemudahan jalan yang lebih selamat dan berkualiti.
“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di atas komitmen bersama dalam merealisasikan impian rakyat di kawasan ini bagi menikmati perhubungan rangkaian jalan raya yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kampung Tanjung Assam bersama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 1 Saribas di Gelanggang Futsal, Kampung Tanjung Assam, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, selain itu kerja pembinaan jalan kebun di Kampung Tanjung Assam juga sedang giat dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Setelah siap nanti, ia dijangka akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat serta memperluas rangkaian terhadap potensi kepada peluang yang lain,” jelasnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato’ Dr. Richard Rapu, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh dan Temenggung Piee Alwi.
Oleh Adi Saparman