
JULAU: Dianggarkan sekitar RM23 juta telah dibelanjakan bagi membaiki kerosakan akibat bencana serta menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasan Parlimen Julau, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Beliau berkata, peruntukan besar itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga, khususnya mereka yang terkesan dengan banjir, tanah runtuh serta kerosakan infrastruktur sejak musim hujan melanda.
“Saya maklum dengan kesusahan rakyat. Ada yang terpaksa berdepan banjir, jalan rosak, tanah runtuh dan sebagainya. Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Julau dan Pakan, ramai penduduk di kawasan Parlimen Julau yang terjejas.
“Setakat ini, anggaran perbelanjaan untuk kawasan Parlimen Julau mencecah sekitar RM23 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program santai bersama rakyat di Rumah Biyan, Kerangan Rian, baru-baru ini.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut merakamkan penghargaan kepada JPBD Julau dan Pakan atas kecekapan mereka menyelaras bantuan kepada rakyat.
“Saya percaya pengerusi JPBD sentiasa aktif dan cekap menguruskan bantuan sewaktu rakyat memerlukan. Terima kasih atas usaha semua yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang ketika bencana melanda,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang berusaha mendapatkan lebih banyak dana bagi meringankan beban hidup rakyat yang terjejas.
“Saya datang sendiri untuk melihat nasib rakyat berhubunga kesan bencana ini dan saya tahu perasaan mereka,” katanya.
Sempena program santai tersebut, Larry turut memperuntukkan RM39,000 daripada geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membantu beberapa jawatankuasa di kawasan itu.
Antara penerima geran ialah Ahli Jawatankuasa Kubur Kerangan Rian dan Rayah Ili, JKKK Rumah Biyan Kerangan Rian, JKKK Rumah Geraik Rayah Ili serta Biro Wanita Rumah Biyan.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan bantuan kerajaan disampaikan kepada rakyat,” katanya.
Oleh Earl Anek