BEKENU : Pembinaan Stesen Penggalak dan Tangki Air Aras Tinggi di Tiris di sini sedikit tergendala disebabkan arahan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac lalu.
Bagaimanapun, kontraktor terbabit bersetuju supaya projek itu akan dapat dipercepatkan dalam tempoh tiga bulan ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Majlis Daerah Subis di sini semalam.
“Saya telah melawat ke tapak projek berkenaan bagi meninjau Projek Rakyat (Projek Stesen Penggalak dan Tangki Air Aras Tinggi) yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan kos RM14 juta.
“Projek ini penting untuk mengatasi masalah bekalan air dan tekanan air yang rendah di kampung dan di kawasan pekan Bekenu,” jelasnya.
Tambahnya, Projek Rakyat seterusnya ialah pemasangan paip air yang baharu juga dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan kos sebanyak RM26.9 juta yang dijangka siap September tahun ini.
Banyak lagi projek lain dilaksanakan di kawasan ini dan juga melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir, katanya sambil menambah, Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan melaksanakan projek meningkatkan kapasiti loji dan perancangan yang menyeruluh dari segi jangka panjang menyelesaikan masalah bekalan air di sini.
“Projek terbabit akan diberi keutamaan dalam Rancangan malaysia Keduabelas (RMK12),” katanya lagi.
Selain itu, tambahnya, Sarawak Energy Berhad (SEB) juga berusaha mempertingkatkan lagi sistem bekalan elektrik bagi mengelak bekalan yang sentiasa terputus di kawasan Bekenu.
SEB juga melaksanakan Projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) bagi menangani masalah permohonan isi rumah tertinggal yang juga dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, katanya.
Hadir bersama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus, Menteri Muda Pembangunan Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohamad Naroden Majais.
Oleh Adum Liu