SIBU: Peruntukan RM100 juta yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jun lepas, akan digunakan untuk baik pulih klinik daif dan membina kuartes-kuartes berkualiti.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, ketika ini sebanyak RM50 juta telah diterima dari Kementian Kesihatan (KKM) dan RM50 juta dari kerajaan Sarawak.
Katanya, menurut Premier Sarawak, peruntukan ini juga untuk membina kuartes berkualiti bagi menggantikan klinik yang telah pun dikenal pasti di seluruh negeri.
“Tempoh pelaksanaan bagi RM100 juta ini adalah 18 bulan. Pihak Pengarah Kesihatan Sarawak telah mengenal pasti semua lokasi.
“Kita juga akan bentangkan kepada Premier dan menteri bertanggungjawab berkenaan tentang reka bentuk dan juga kos-kos yang akan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS)@HePiLI & One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) Peringkat Negeri Sarawak 2024, di sini hari ini.
Lukanisman berkata, ia merupakan inisiatif khusus bagi Sarawak dan pada masa sama pihak kementerian menjalankan baik pulih dan juga membina baru klinik-klinik di bawah program Bitara Madani yang telah pun dimulakan sejak tahun lepas.
“Pada tahun ini, kita mempunyai kira-kira 39 projek klinik daif yang sedang berjalan sama ada dengan gantian penuh, atau kebanyakan peruntukan ini adalah untuk menggantikan masalah yang agak kritikal di klinik-klinik kesihatan di seluruh Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata terdapat 15 lokasi di seluruh Sarawak untuk program ini sejak 15 Ogos lalu dan akan tamat di SMK Petrajaya, Kuching pada 8 Oktober depan.
“Kita akan menghimpunkan ribuan pelajar di sepanjang jelajah ANMS ini,” katanya.
Beliau berharap, dapat menyampaikan satu program literasi berkesan kepada generasi muda, terutamanya dengan terdapat peningkatan secara mendadak dari sudut penggunaan rokok elektronik.
“Pada masa sama, kita berharap akan menjalankan satu program berskala nasional iaitu perang ke atas gula, kempen memerangi gula atau kita menggalakkan pengambilan gula yang berkurangan di dalam pemakanan harian kita,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN
Gambar
UNTUK KENANGAN….Lukanisman merakam kenangan bersama peserta program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS)@HePiLI & One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) Peringkat Negeri Sarawak 2024, hari ini.