JAKARTA: Taman Negara Gunung Rinjani di wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia, mengehadkan aktiviti pelancongan bermula Selasa, susulan peningkatan risiko kebakaran pada musim kemarau, lapor Xinhua.
Pengehadan itu merangkumi pendakian dan aktiviti bersifat ritual, keagamaan, budaya, sosial serta penyelidikan, atas arahan pihak berkuasa pemuliharaan Kementerian Perhutanan.
Pihak pengurusan taman menyatakan pada Selasa, mereka akan mengetatkan aspek keselamatan, rondaan dan kawalan akses, selain memeriksa barangan pengunjung bagi mengesan punca kebakaran yang mungkin wujud.
Tempahan dalam talian menerusi aplikasi eRinjani dihentikan sementara bermula 1 Sept sehingga risiko kebakaran berkurangan.
“Tempahan yang telah dibuat dan dibayar sebelum tarikh tersebut masih boleh dilayan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan pihak pengurusan taman.
Dasar itu akan disemak secara berkala berdasarkan tahap risiko, keadaan musim kemarau serta perkembangan situasi di dalam kawasan taman.
Pengunjung juga diingatkan bahawa penggunaan api tanpa kebenaran adalah dilarang.
Langkah itu diambil ketika Indonesia terus berdepan masalah kebakaran hutan di beberapa wilayah.
Setakat 30 Ogos, Kementerian Perhutanan merekodkan 946 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi di seluruh negara, dengan operasi pemadaman api masih dijalankan di 60 daripada 93 lokasi kebakaran yang dilaporkan, khususnya di Kalimantan dan Sumatra.- Bernama-Xinhua




