Risiko geopolitik memuncak di Asia Barat, harga petrol, diesel tanpa subsidi naik  – MOF

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 Julai hingga 29 Julai ini. 

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga runcit RON97 ditetapkan RM4.20 seliter berbanding RM4 sebelum ini manakala RON95 tanpa subsidi RM3.62 seliter berbanding RM3.42 seliter. 

Harga diesel tanpa subsidi pula ditetapkan RM4.42 seliter berbanding RM4.07 seliter sebelum ini. 

Menurut MOF, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu, menyaksikan harga minyak mentah Brent meningkat 16 peratus sepanjang minggu lepas susulan konflik Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata.

“Sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

FOTO janaan AI

“Kenaikan harga minyak mentah turut didorong paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi. Pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan,” menurut kenyataan MOF hari ini.

Menurut MOF, meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan.

Harga bahan api bersubsidi bagi tempoh tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang perubahan, menurut MOF.

MOF memaklumkan biarpun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan itu. – Bernama