
KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih lima bulan berikutan minat baharu susulan perkembangan positif dalam perbincangan tarif antara Malaysia dan kerajaan AS.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada lebih tinggi pada 4.3615/3665 berbanding dolar AS berbanding paras penutupan Jumaat iaitu 4.3705/3770.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit mendapat rangsangan daripada peningkatan optimisme susulan permulaan yang baik dalam perbincangan perdagangan antara Malaysia dan AS baru-baru ini.
“Mata wang Malaysia mendapat sokongan selepas laporan menyatakan bahawa perbincangan perdagangan Malaysia-AS telah ‘bermula dengan cukup baik’, dan perkembangan ini meletakkan persepsi pasaran dalam keadaan yang sangat positif, sekali gus meningkatkan sentimen terhadap ringgit hari ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bahawa ringgit berkemungkinan terus mengukuh memandangkan perkembangan positif mengenai rundingan tarif dijangka terus berlaku.
Selain itu, beliau berkata, sesi khas Parlimen yang dijadualkan pada 5 Mei untuk membincangkan isu-isu berkaitan tarif menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menangani cabaran ekonomi semasa.
“Ini mungkin telah menyumbang secara positif kepada pembinaan keyakinan, walaupun tahap ketidakpastian masih agak ketara,” tambahnya.
Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0406/0443 daripada 3.0431/0481 pada penutupan Jumaat dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9507/9564 daripada 4.9596/9670 pada akhir minggu lalu, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.8195/8262 daripada 5.8128/8214 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit turut mencatat prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3198/3238 daripada 3.3228/3280 pada penutupan Jumaat dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9517/9743 daripada 13.0195/0450.
Nota tempatan itu turut meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada 7.77/7.78 pada Jumaat dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 258.7/259.1 daripada 259.6/260.2.
-BERNAMA