Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Isnin, disokong oleh anggaran awal yang lebih baik daripada jangkaan, menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih cepat pada suku kedua 2026.

Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Suku Kedua 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0920/0995 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0990 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Walaupun data ekonomi domestik lebih kukuh, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mata wang dijangka terus memberi tumpuan kepada perkembangan di Asia Barat berikutan peningkatan jumlah yang maut dalam kalangan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) melibatkan pertempuran antara tentera AS dan Iran.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus mendapat sokongan yang baik, dengan indeks itu kini berada pada paras 100.846 mata, meningkat 0.08 peratus berbanding pada sesi penutupan sebelumnya.

“Dalam persekitaran sedemikian, ringgit dijangka diniagakan pada paras rendah. Pada Jumaat, ringgit ditutup dengan menurun 0.57 peratus berbanding dolar AS kepada RM4.0960.

“Oleh itu, mata wang tempatan dijangka diniagakan dalam julat RM4.0900 hingga RM4.1165 hari ini,” katanya kepada Bernama. 

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.5017/5118 daripada 5.5018/5099 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 4.6759/6845 daripada 4.6824/6893 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5177/5225 daripada 2.5208/5246 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1664/1727 daripada 3.1709/1758, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 228.3/228.8 daripada 228.4/228.8 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1504/1781 daripada 12.1743/1965.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.66.- Bernama

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan bahawa pelabur asing akan beralih daripada saham teknologi kepada