
LOS ANGELES: Penyanyi terkenal dunia, Rihanna, mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang melepasi 200 juta pensijilan single oleh Persatuan Industri Rakaman Amerika Syarikat (RIAA).
Pencapaian tersebut dicatatkan walaupun beliau tidak mengeluarkan album baharu dalam tempoh sedekad, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis paling berpengaruh dalam industri muzik global.
Dalam senarai sepanjang masa, Rihanna kini berada di kedudukan ketiga dengan 200.5 juta unit.
Penyanyi Drake mendahului carta dengan 277.5 juta unit, diikuti Morgan Wallen dengan 215 juta unit.
Album terakhir Rihanna, ANTI, dilancarkan pada 2016. Sejak itu, beliau hanya menghasilkan beberapa lagu runut bunyi, termasuk Lift Me Up untuk filem Black Panther: Wakanda Forever (2022) serta Friends of Mine bagi filem Smurfs (2025).
Dalam perkembangan berkaitan, Rihanna memaklumkan bahawa beliau sedang dalam proses menyiapkan album studio terbaharu. Dalam satu temu bual pada 2025, beliau menyatakan keyakinan terhadap projek tersebut yang dijangka tampil berbeza daripada karya sebelumnya.
Menurutnya, album itu tidak terikat kepada mana-mana genre dan akan menampilkan pendekatan baharu yang lebih segar, selain tidak bersifat komersial atau mudah diterima radio.
Sementara itu, pada Mac lalu, kediaman Rihanna di Beverly Hills dilaporkan menjadi sasaran tembakan oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Suspek, Ivanna Lisette Ortiz, didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk cubaan membunuh, serangan menggunakan senjata api separa automatik serta melepaskan tembakan ke arah kediaman berpenghuni. Beliau telah mengemukakan pengakuan di mahkamah pada 25 Mac. – AGENSI