SERIAN: Bahagian Serian melakar sejarah tersendiri apabila satu lagi penamaan jalan untuk kaum Cina dirasmikan, semalam.
Penamaan Jalan Chung Hua dikemukakan oleh Dewan Perniagaan Cina Serian bagi kouta kaum Cina.
Jalan tersebut terletak di kawasan bandar Serian iaitu dari simpang Cold Storage Ayam Champion, Serian-Faho sehingga Jalan Serian By Pass merangkumi jarak 700 meter.
Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan), Dato’ Sri Dr Richard Riot Jaem berkata, rasional jalan tersebut diberikan dengan nama Chung Hua ialah bermaksud Tiong Hua di dalam bahasa mandarin.
“Lagipun ia bersebelahan dengan SJK Chung Hua Serian,” katanya ketika berucap pada Perasmian Jalan Chung Hua Serian.
Jalan tersebut diluluskan oleh Jawatankuasa Penamaan Geografi Negeri dan diambil maklum dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Sukan, Komuniti dan Maksud Am (Bil.4/2019) pada 21 November 2019.
“Sehingga sekarang tiga kuota penamaan jalan untuk kaum diluluskan iaitu dua untuk kaum Bidayuh dan satu untuk kaum Cina .
“Kini tinggal hanya dua kuota bagi penamaan jalan yang masih belum dikemukakan iaitu kaum Iban dan Melayu,” ujarnya.
Selain kaum Cina, jalan di Bahagian Serian diberikan nama sempena nama tokoh berbangsa Bidayuh iaitu Jalan Pengarah Rahun Debak dan Datuk Michael Ben.
“Atas usaha Majlis Daerah Serian (MDS), nama-nama jalan ini dapat diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Saya berharap, nanti akan wujudnya penamaan jalan untuk kaum Iban dan Melayu sebagai bukti kepelbagaian kaum yang terdapat di Serian,” jelasnya.
Oleh Nur Ain Otsman