Ribut ragut dua nyawa di Perancis

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PANCARAN kilat kelihatan berhampiran Menara Montparnasse semasa ribut petir di Paris pada 25 Jun 2025. Foto AFP

PARIS:  Dua orang maut di Perancis selepas negara itu dilanda ribut kuat susulan cuaca panas melampau, lapor agensi berita Jerman dpa memetik media tempatan dan pihak berkuasa.

Di wilayah Tarn-et-Garonne di selatan Perancis, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut apabila sebatang pokok tumbang berhampiran anak sungai ketika dia bersama keluarganya cuba menyelamatkan diri, menurut laporan stesen penyiaran BFMTV yang memetik perkhidmatan kecemasan.

Sementara itu, di sebuah kampung di barat laut negara itu, seorang penunggang kenderaan ATV maut selepas melanggar pokok tumbang yang menghalang laluan, lapor penyiar Ici.

Kelajuan angin mencecah sehingga 120 kilometer sejam, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca buruk bagi 57 wilayah.

Pasukan kecemasan dilaporkan berdepan ratusan panggilan bantuan, manakala lebih 100,000 isi rumah terputus bekalan elektrik buat sementara waktu.

Di Paris, Perdana Menteri François Bayrou menggesa penduduk di kawasan terjejas agar berwaspada.

Angin kencang turut direkodkan di puncak Menara Eiffel dengan kelajuan 112 kilometer sejam, manakala hujan lebat menyebabkan beberapa stesen metro dinaiki air dan mengganggu aliran trafik.

Dalam tempoh hanya 20 minit, suhu di Paris menurun sebanyak 11 darjah Celsius.– Bernama-dpa

Getah rambut Haaland habis dijual

PRODUK getah rambut Kknekki keluaran Dooji Co. yang direka khas untuk Erling Haaland dan mencetuskan permintaan tinggi selepas dipakainya pada