SIBU: Ribuan pengunjung daripada pelbagai kaum menghadiri Konsert Ambang Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I di sini, malam tadi.
Sambutan meriah ini bermula seawal jam 6.30 petang apabila orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut untuk menyaksikan konsert yang diadakan sempena Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak.
Konsert itu, menampilkan persembahan kreatif dari Kumpulan D’Sibu Tari, diiringi Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS), memukau penonton dengan gabungan tarian dan muzik yang menakjubkan.
Acara ini turut diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Floor 88 dan Baby Shima, yang berjaya menghidupkan suasana dengan lagu-lagu popular mereka.
Artis tempatan seperti Firdaus Materang, Ng Chien Chien, Sazia Selair, dan Mal Imran juga tidak ketinggalan menyumbang kepada kemeriahan acara dengan persembahan mereka yang memukau.
Sambutan ini mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat patriotisme.
“Konsert Ambang Hari Kebangsaan di Sibu pada tahun ini sememangnya meriah kerana pelbagai persembahan menarik telah disajikan kepada para pengunjung yang hadir.
“Kita juga dapat melihat ramai pengunjung daripada pelbagai kaum turut hadir untuk memeriahkan acara ini,” kata Nur Almeera Ateng, 36, ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Dayang Ratna Awang Ibrahim, 50, pula berkata, konsert itu menampilkan suasana yang santai.
“Acara ini sangat santai dengan nyanyian artis-artis tempatan yang popular seperti Baby Shima.
“Sememangnya acara ini sangat baik kerana kita dapat merasakan suasana sebegini secara langsung,” katanya.
Oleh Tarani Lanting