SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Ribuan orang membanjiri kawasan Tebingan Sungai Kuching hari ini apabila acara Regata Sarawak kembali dianjurkan setelah dua tahun tidak diadakan berikutan pandemik Covid-19.
Malah jualan hasil kraftangan dilaporkan meningkat hampir RM200,000 walaupun baharu sahaja dibuka semalam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia mendapat sambutan menggalakkan dari segi penyertaan peserta antarabangsa serta tempatan.
“Saya difahamkan sambutan sangat menggalakan dari sudut penyertaan antarabangsa dalam perlumbaan perahu naga antarabangsa dan minggu depan juga dijangka banyak penyertaan daripada peserta tempatan dalam Regata Sarawak kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Festival Regata Sarawak: Tebingan Sungai Kuching 2022 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Regata Sarawak kali ini juga turut memberi limpahan manfaat kepada usahawan tempatan.
“Saya difahamkan, jualan kraftangan meningkat hampir RM200, 000 meskipun baharu dibuka semalam,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis memperingati Bulan Kanser Payudara dan kemudiannya menyempurnakan majlis ‘eye dotting’ dan penyerahan paddle oleh Temenggong Bahagian Kuching sebagai simbolik perasmian Regata Sarawak tahun ini.
Sejurus selepas itu, Premier Sarawak bersama dif kehormat lain mengunjungi ‘booth’ jualan kraftangan serta menyempurnakan Mini Pelancaran Festival Kraf Tekstil Borneo.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.