SEKALI sekala jika ingin mengubah selera, apa kata anda menikmati hidangan Jepun yang segar dan menyelerakan dengan harga yang berpatutan.
Di sekitar bandar raya Kuching ini, memang ada banyak pilihan makanan Jepun yang ditawarkan tetapi yang terbaharu dan patut dicuba ialah Restoran Go Izakaya di Lot 188, Ground Floor, Jalan Wan Alwi.
Melangkah masuk ke restoran ini, mata akan terpaku ke arah dekorasi-dekorasi menarik dan keselesaan suasananya. Difahamkan, setiap dekorasi sengaja diolah sedemikian rupa bagi memberikan pelanggan pengalaman menjamu selera seperti di Negara Matahari Terbit itu.
Bagi yang beragama Islam, tidak perlu bimbang untuk menjamu selera di sini kerana restoran ini tidak menyajikan daging khinzir. Untuk lebih meyakinkan, tiga daripada tujuh cef berpengalaman di sini adalah beragama Islam.
Ada lebih 100 hidangan Jepun ditawarkan yang disediakan daripada bahan-bahan segar dan berkualiti yang diimport dari Norway, manakala bahan panggang seperti Tuna dan Sashimi pula didatangkan dari Taiwan.
Bahan-bahan mentah segar yang lain pula didatangkan khas dari Kuala Lumpur pada setiap Selasa dan Jumaat bagi menjamin hidangan yang ditawarkan sentiasa segar dan berkualiti.
Untuk lebih menggamit selera, setiap hidangan dihidangkan dengan deko makanan yang menarik, hasil kreativiti cef-cefnya.
Melihat menunya pula, ada banyak pilihan hidangan dengan nama-nama unik. Antaranya termasuklah Dragon Mentai Roll, Salmon Mentai Roll, Inari Mentai Roll, Unagi Special Roll, Cheese California Roll, Spicy Shisamo Roll, sashimi pelbagai jenis seperti Hourai Sashimi Moriawase, Sakura Sashimi, Go Sashimi Moriawase, Yama To Kawa Sashimi.
Bagi penggemar salad pula, pilihan yang ditawarkan termasuklah Salmon Salad, Kani Salad, Wakame Salad, Sashimi Salad, Smoked Duck Salad dan sebagainya.
Restoran ini juga turut menyajikan lebih 20 jenis sushi seperti Salmon Sushi, Maguro Sushi, Shiro Maguro, Hokkigai Sushi, Kani Sushi dan sebagainya.
“Hidangan paling laris di sini ialah Dragon Mentai Roll dan Salmon Head Shioyaki,” kata Andy Chai Kian Chai, , salah seorang daripada lima pengasas Restoran Go Izakaya ini.
Menurut Andy lagi, restoran tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak dibuka lima bulan yang lalu. Malah semua hidangan sentiasa habis terjual sebelum operasi harian tamat.
“Selain itu, bagi mematikan keselesaan dan kepuasan para pelanggan, jumlah menu akan ditambah selepas majlis perasmian ini manakala kami juga bercadang untuk memperluas ruang restoran ini,” ujarnya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Bercerita ringkas tentang sejarah restoran ini, Andy berkata, beliau dan empat rakannya mengambil keputusan untuk menyertai industri gastronomi di bandar raya ini memandangkan dengan menawarkan hidangan Jepun.
Restoran Go Izakaya dibuka setiap hari bermula 11.00 pagi hingga 2.00 petang dan 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Oleh RYNNA SHA’ERRA