
BANGKOK: Seorang remaja wanita ditahan pihak berkuasa Thailand di sebuah lapangan terbang di sini kerana disyaki menyeludup 30 ekor kura-kura dilindungi bernilai kira-kira AS$9,000 (sekitar RM42,000) dengan cara menampalnya pada tubuh di bawah pakaian, menurut pegawai hidupan liar semalam.
Thailand merupakan hab transit utama bagi penyeludupan hidupan liar, dengan haiwan terancam bernilai tinggi sering dijual di pasaran gelap yang menguntungkan di Asia.
Menurut kenyataan Jabatan Pemuliharaan Hidupan Liar Thailand, pihak berkuasa mula mengesyaki gerak-geri luar biasa wanita warga Taiwan berusia 19 tahun itu ketika dia bersiap untuk menaiki penerbangan ke Taipei awal pagi Selasa.
Pemeriksaan di terminal berlepas Lapangan Terbang Suvarnabhumi menemui kura-kura spesies Indian star, dengan 29 daripadanya masih hidup dan seekor mati, yang diikat pada tubuh suspek.
“Suspek menggunakan pita pelekat untuk melumpuhkan haiwan tersebut, memasukkannya ke dalam beg kain dan melekatkannya pada badan bagi mengelak dikesan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Kastam Thailand memaklumkan kura-kura berkenaan, yang dilindungi di bawah Convention on International Trade in Endangered Species (CITES), mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap dengan anggaran keseluruhan sekitar AS$9,000.
Wanita itu didakwa atas kesalahan mengangkut haiwan secara haram serta mengelak kawalan kastam. Pihak berkuasa turut menyiasat sama ada suspek terlibat dalam rangkaian penyeludupan yang lebih besar.
Kura-kura Indian star diklasifikasikan sebagai spesies terdedah oleh International Union for Conservation of Nature, yang menyatakan haiwan itu sering diburu bagi memenuhi permintaan antarabangsa sebagai haiwan peliharaan eksotik.
Kesemua kura-kura yang masih hidup telah diserahkan kepada pegawai pemuliharaan hidupan liar untuk rawatan lanjut serta dijadikan bahan bukti. – AFP