BINTULU: Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 9, Jalan Lambir, Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu-Miri, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kemalangan maut itu berlaku kira-kira 9.50 pagi dan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah motosikal.
Menurutnya, kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dari arah Bintulu menuju ke Miri sebelum berhenti di bahu kiri jalan.
“Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa, 18, kemudian melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Miri kira-kira 10.11 pagi.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Liong Chai Ling





