
Pemain PSG (jersi biru merah) kelihatan muram selepas tumbang 3-1 di tangan Nice pada aksi Ligue 1 Perancis di Parc des Princes, Paris.
PARIS: Rekod tanpa kalah Paris Saint-Germain (PSG) dalam Ligue 1 musim ini akhirnya lebur selepas tunduk 3-1 di halaman sendiri kepada Nice awal pagi tadi, beberapa hari menjelang pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal.
PSG berharap mampu muncul pasukan pertama dalam liga utama Perancis mengakhiri musim tanpa kalah, namun Morgan Sanson meledak dua gol buat Nice ketika pelawat meraih tiga mata sekalipun menentang arus perlawanan.
Fabian Ruiz menyamakan kedudukan buat PSG pada hujung babak pertama, memadamkan gol pendahuluan Sanson.
Bagaimanapun, Sanson menjaringkan gol sekali lagi hanya 22 saat separuh masa kedua bersambung dan Youssouf Ndayishimiye menanduk masuk untuk menjadikan kedudukan 3-1 tidak lama kemudian.
“Bagi saya keputusan ini tidak adil tetapi inilah bola sepak, anda perlu menerimanya,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique, yang menyaksikan pasukannya mendominasi perlawanan dengan 76 peratus penguasaan bola dan lebih 30 percubaan ke arah gol.
PSG tidak kalah dalam 30 perlawanan Ligue 1 musim ini selain tidak kalah dalam 41 perlawanan terakhir menentang kelab Perancis sejak tumpas 3-1 di laman sendiri kepada Toulouse pada 12 Mei tahun lalu.
Keputusan itu bermakna PSG, yang sudah memastikan kejuaraan keempat berturut-turut Ligue 1 awal bulan ini, gagal menyamai rekod bagi catatan tanpa kalah terpanjang sejak awal musim Perancis.
Rekod itu masih dipegang Nantes, yang tidak kalah dalam 32 perlawanan sebelum mengalami kekalahan tunggal mereka dalam laluan memenangi kejuaraan pada 1994-95.
PSG kini perlu pantas melupakan kekalahan itu ketika mereka menuju ke London bagi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Arsenal awal pagi Rabu ini, sebelum aksi timbal balik di Parc des Princes pada 7 Mei.
“Kemungkinan untuk mengatasi beberapa rekod menjadi objektif kami dalam beberapa minggu terakhir,” akui Enrique.
“Ia tidak menjadi kenyataan, tetapi ia tidak mengubah objektif kami untuk meneruskan kempen Liga Juara-Juara hingga layak ke final.” – AFP