KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan kewangan RM100,000 kepada keluarga setiap mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, selain menanggung pendidikan anak-anak mangsa menerusi Yayasan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu diputuskan kerajaan negeri sebagai sokongan kepada keluarga mangsa untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan insan tersayang.
“Kerajaan Sarawak telah memutuskan kita membantu mangsa keluarga ini untuk masa depan.
“Kita membantu menerusi bantuan kewangan RM100,000 untuk seorang mangsa. Anak-anak mereka untuk pendidikan mereka akan ditanggung oleh Yayasan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi, dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Nahas pada Selasa lalu mengorbankan lima individu yang berada dalam helikopter FDS ketika pesawat berkenaan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
Mangsa ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Ketika kejadian, mereka sedang menjalankan tugasan FDS yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Tiga daripada mangsa iaitu Alexson, Debra dan Jessie merupakan rakyat Sarawak, manakala Zainol berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan Dr Ainul dari Kota Bharu, Kelantan.
Dr Ainul, yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, dilaporkan berdedikasi memberikan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat pedalaman Sarawak menerusi tugasan FDS.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan pemergiannya ketika menjalankan misi membawa rawatan dan harapan kepada masyarakat yang memerlukan sebagai satu kehilangan yang amat menyedihkan.
Sementara itu, jururawat Jessie Paya Jok, 44, sebelum ini dilaporkan merancang untuk menamatkan tugasan bersama FDS bulan ini sebelum menyambung pengajian dalam bidang Diploma Lanjutan Kebidanan pada tahun depan.
Menurut sahabat karibnya, Caroline Sawai Joseph Chungat, Jessie atau lebih mesra disapa Paya dikenali sebagai seorang yang lemah lembut dan sentiasa menceriakan suasana dengan senyuman serta gelak ketawa.
Beliau juga pernah berkhidmat di Klinik Kesihatan Bario dan dikenang kerana kesungguhannya membantu pesakit, termasuk menggunakan wang sendiri untuk menampung kos perjalanan pesakit yang perlu dirujuk ke Hospital Miri.
Debra Moset pula disifatkan keluarganya sebagai seorang yang ceria dan gemar memasak apabila pulang ke kampungnya di Kampung Semadang, Padawan. Adiknya, Morgan Moset, berkata Debra telah bekerja di Miri lebih 10 tahun dan tidak pernah melepaskan peluang pulang menemui keluarga setiap kali bercuti.
Bagi Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, beliau merupakan juruterbang yang mengendalikan penerbangan helikopter berkenaan ketika nahas berlaku. Beliau dilaporkan pernah terlibat menerbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.
Kesemua lima mangsa ditemukan di dalam bangkai helikopter yang terbakar dan identiti mereka dikenal pasti berdasarkan barangan peribadi, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk. Proses pengesahan rasmi turut melibatkan pengambilan sampel DNA daripada keluarga mangsa.
Helikopter jenis BO-105 yang membawa kelima-lima mangsa terhempas ketika dipercayai hendak mendarat di Long Lellang kira-kira jam 3.21 petang Selasa. Siasatan bagi menentukan punca nahas masih dijalankan.
Oleh Shahrul Qaizat





