SARIKEI: Kelab Rotary Bintulu Central (RCBC) dengan kerjasama The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (LDSC) telah berjaya melaksanakan projek Hope Delivery ‘Touching More Lives’ Sequel ke-7 di Hospital Sarikei.
Inisiatif ini yang bernilai RM362,665.50 melibatkan sumbangan peralatan perubatan dan bukan perubatan kritikal untuk menggantikan unit Beyond Economic Repair (BER) serta peralatan baharu bagi menyokong pengembangan perkhidmatan hospital.
Presiden RCBC yang juga penganjur projek Hope Delivery, Allen Wong Ching Seng berkata, sejak ditubuhkan pada 2022, projek Hope Delivery telah komited untuk meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan di Sarawak dengan tumpuan khusus untuk memperbaiki kualiti penjagaan yang diberikan kepada pesakit.
“Peralatan yang ditaja oleh LDSC dan disumbangkan dalam projek ini akan membolehkan Hospital Sarikei menyediakan rawatan dan pemantauan perubatan yang lebih cekap, memastikan hospital dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di Bahagian Sarikei dan daerah berhampiran.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan daripada LDSC dan kerjasama dengan pasukan Hospital Sarikei yang komited telah membolehkan kami membawa perubahan positif kepada penjagaan kesihatan di Sarikei dan Sarawak.
“Kerjasama ini mengukuhkan misi bersama kami untuk membina komuniti yang lebih sihat dan saksama dengan memastikan rakyat Sarawak mendapat akses kepada penjagaan berkualiti,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan sumbangan aset perubatan di bilik persidangan Hospital Sarikei, hari ini.
Tambahnya, RCBC kekal komited kepada misinya untuk terus memberi perkhidmatan kepada komuniti di seluruh Sarawak.
“Dengan sumbangan ini, RCBC berharap usaha Hospital Sarikei untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dapat diperkukuh sambil memperluaskan keupayaannya untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan.
“Untuk maklumat lanjut, sila cari dan ikuti halaman Facebook projek kami: “Hope by Rotary Club of Bintulu Central,” katanya.
Sementara itu, Sister Yevette Hathaway selaku wakil LDSC berkata, LDSC bukanlah sebuah organisasi kemanusiaan, tetapi sebuah gereja yang terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan.
“Saya dan suami saya, Elder Hathaway, memilih untuk terlibat dalam kerja mulia ini.
“Kami telah ditugaskan untuk datang ke Malaysia Timur dan tiba pada April lalu dan kami akan berada di sini sepanjang 2025.
“Sumbangan daripada ahli gereja kami digunakan untuk membantu tanpa mengira bangsa, agama atau asal etnik. Kami diamanahkan untuk mengurus dana yang disumbangkan oleh ahli-ahli gereja kami,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Sarikei, Dr Mohamad Ng Siah Huat berkata, pihaknya bersyukur dan mengiktiraf sumbangan ikhlas aset perubatan daripada LDSC melalui projek Hope Delivery yang dianjurkan oleh RCBC.
“Keprihatinan ini pastinya akan memperkukuh dan meningkatkan kualiti penjagaan serta perkhidmatan yang kami sediakan di Hospital Sarikei.
“Sumbangan ini akan membolehkan kami terus berkhidmat, bukan sahaja kepada penduduk Sarikei, tetapi juga kepada komuniti di kawasan sekitar dalam Bahagian Sarikei dan Betong,” katanya.
Turut hadir, wakil LDSC, Elder Hathaway dan Penolong Gabenor Rotary District 3310 Group 19, Cecilia Ling.
Oleh Earl Anek