PUTRAJAYA: Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan beliau menghadiri prosiding tuntutan sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$681 juta yang difailkan terhadapnya dan beberapa yang lain, ditolak.
Permohonan itu ditolak oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.
Hakim Abdul Rahman yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah tidak yakin bahawa ini adalah kes yang sesuai dan wajar baginya untuk menggunakan budi bicara bagi memberikan kebenaran di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, sambil menambah bahawa perkara itu adalah akademik.
Beliau mengarahkan Najib membayar kos RM30,000 kepada IMDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited.
Pada 10 November 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustafa Yusoff Ahmad menolak permohonan Najib untuk hadir dalam prosiding membatalkan Injunksi Mareva yang diperoleh IMDB dan empat anak syarikatnya.
Rayuan susulan bekas ahli Parlimen Pekan yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 24 November 2023.
1MDB dan empat anak syarikatnya memfailkan saman pada Mei 2021 terhadap Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas pengarah kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (bekas ketua pegawai kewangan dan kemudiannya ketua pegawai operasi).
Pada 8 Februari 2022, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi ex-parte Mareva terhadap Najib.
Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan injunksi yang didengar secara interparte, dan berikutan itu Najib memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Perintah injunksi yang diperoleh syarikat itu adalah untuk membekukan aset Najib sebelum penentuan saman sivil.
Injunksi itu juga mengehadkan Najib untuk membuat pengeluaran dengan jumlah tidak lebih daripada RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman, dan beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified jika lebih banyak diperlukan.
Injunksi Mareva ialah perintah yang menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu keputusan atau kesimpulan tindakan undang-undang.
Dalam prosiding hari ini peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya mahu menghadiri prosiding itu untuk memberi taklimat kepada peguamnya mengenai perkara berkenaan.
Bagaimanapun peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikat berkenaan berkata perkara itu bersifat akademik kerana pendengaran Injunksi Mareva yang ingin dihadiri Najib telah selesai.
Seorang lagi peguam Najib Alaistar Brandah Norman memberitahu pemberita bahawa rayuannya untuk membatalkan injunksi itu dijadualkan untuk pengurusan kes pada 26 Ogos. – Bernama