
Ribut debu yang melanda ibu negara India menyebabkan lebih 350 penerbangan tertangguh di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi.
NEW DELHI: Ratusan penerbangan mengalami kelewatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi akibat kesesakan susulan ribut debu yang melanda ibu negara India pada petang Jumaat.
“Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Delhi kini semakin pulih, bagaimanapun, beberapa penerbangan masih terjejas disebabkan keadaan cuaca malam tadi,” menurut Delhi International Airport Limited (DIAL) dalam satu hantaran di platform X pada Sabtu.
Menurut syarikat pengendali lapangan terbang itu, keadaan cuaca buruk pada Jumaat telah memberi kesan besar kepada operasi penerbangan di seluruh negara.
Penumpang yang kecewa meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan dan pembatalan penerbangan.
“Pasukan darat kami dan semua pihak berkepentingan sedang bekerjasama untuk meminimumkan sebarang kesulitan kepada para penumpang,” kata DIAL.
Lebih 350 penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan, dengan suasana kecoh berlaku di kawasan penumpang, menurut laporan media tempatan.
“Kesesakan trafik udara yang berterusan di Delhi menyebabkan penerbangan ditahan untuk kelulusan berlepas dan mendarat. Kesan susulan turut menyebabkan beberapa penerbangan lain dalam rangkaian kami terjejas,” menurut syarikat penerbangan IndiGo menerusi satu hantaran di X pada petang Sabtu.
— BERNAMA