KUCHING: Randau Gabungan Parti Sarawak (GPS)-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah platform terbaik memantapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, melalui randau, pelbagai perkara dibincangkan termasuk persiapan dan strategi menghadapi pilihan raya.
“Kita berharap randau seperti ini dapat digunapakai untuk memperkasa jentera selain memberi bayangan pilihan raya hampir tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Randau GPS-PBB DUN N.4 Pantai Damai di Kampung Panglima Seman Lama di sini malam Jumaat lalu.
Kampung Panglima Seman Lama menjadi destinasi keenam randau selepas Kampung Santubong, Kampung Jaya Bakti, Kampung Pasir Pandak, Kampung Semarang dan Kampung Temenggong.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, pola pengundian di Sarawak berbeza berbanding negeri lain kerana pilihan raya kerap berlangsung antara pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).
“Oleh itu, jentera kita perlu sentiasa bersedia kerana lebih kurang dua tahun sekali kita akan berdepan dengan pilihan raya,” ujarnya.
Menurutnya, kemungkinan besar pilihan raya negeri Ke-12 (PRN12) akan berlangsung dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Kita perlu bersedia untuk membuat beberapa pengubahsuaian dalam norma baharu supaya penyokong dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa,” jelasnya.
Dr Abdul Rahman berkata, kerjasama antara kepimpinan PBB cawangan dan ranting juga perlu diberi perhatian untuk memastikan setiap perancangan berjalan lancar.
“Ia penting agar setiap strategi yang kita atur dapat diperkemaskan dan tidak menjejaskan persiapan,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai, Drahman Jaladin, Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai, Jamaiyah Sulaiman, Setiausaha PBB Cawangan Pantai Damai, Merdehi Mas dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai, Sebki Jen.
Oleh Diyana Samsuddin