KUCHING: Perjanjian usaha sama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan (Urban Development Authority of Malaysia) UDA Holdings Berhad bakal merancakkan lagi kepesatan pembangunan sosio-ekonomi di Sarawak.
Pengerusi SEDC, Datuk Amar Abdul Aziz Dato’ Hussain (gambar) berkata, kerjasama strategik ini akan meraih sinergi dalam berkongsi kepakaran dan pelbagai sumber bersama dalam meneroka peluang pembangunan perniagaan di negeri ini.
Beliau berkata sedemikian dalam sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Usaha Sama Pembangunan Hartanah Antara SEDC Sarawak Dengan UDA Holdings Berhad yang bertempat di Hotel Grand Margherita, semalam.
“Memorandum usaha sama ini akan membuka ruang kepada UDA Holdings bekerjasama dalam banyak bidang berkaitan pembangunan hartanah, bidang perkhidmatan pengurusan fasiliti dan banyak lagi.
“Dengan termetarainya perjanjian ini, pihak SEDC akan menggembleng sumber, modal, bidang dan kepakaran yang pastinya memberi impak serta manfaat kepada semua pihak termasuk kita di negeri Sarawak”, ujarnya.
Tambahnya lagi, perjanjian menunjukkan komitmen tinggi antara kedua belah pihak yang akan memastikan semua pihak menggerakkan usaha serta tenaga secara startegik.
Beliau juga menyifatkan dengan termeterainya perjanjian ini bukan sahaja mencapai kesinambungan persefahaman dan pertalian erat di antara kedua belah pihak, malah perkongsian jaringan potensi perniagaan dan idea-idea bernas turut terbuka luas.
Beliau juga turut mengulas mengenai senario ekonomi tempatan yang terjejas teruk ekoran daripada pandemik Covid 19 yang sedang melanda dunia.
“Meskipun aktiviti ekonomi dunia mungkin mengambil masa yang lama untuk kembali pulih seperti biasa, namun kita perlu sentiasa positif tentang lonjakan potensi permintaan dan peluang perniagaan yang bakal diperolehi di kemudian hari.
“Kita juga perlu bersyukur dan berterima kasih dengan Ketua Menteri kita kerana beliau telah menyalurkan pelbagai bantuan khas termasuk inisiatif melonggarkan pembayaran sewa premis perniagaan di bawah milik dan pengurusan SEDC bagi tempoh 6 bulan bagi membantu golongan usahawan tempatan,” katanya dalam majlis yang sama.
Upacara menandatangani perjanjian dan pertukaran dokumen ini telah disempurnakan oleh Datuk Amar Abdul Aziz Dato Hussain, selaku Pengerusi SEDC, bersama-sama Pengerusi UDA Holdings Berhad Dato’ Jalaluddin Alias.
Upacara ini turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg beserta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut.
Turut hadir pada majlis yang sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Mohd. Salem Kailany, Pengurus Besar Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, beserta barisan pengurusan kanan SEDC dan UDA.
Oleh Akmal Adib Yusup