KUCHING: Sepanjang Ogos 2020, Sarawak merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah berbentuk serbuk berjumlah 49.27 kilogram (kg) dan 13,666 biji dalam bentuk pil dianggarkan bernilai RM5.33 juta.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, secara purata jumlah rampasan ini mampu mengurangkan sebanyak 561,098 kali penggunaan oleh 124,045 individu bagi tempoh satu bulan.
“Sebanyak 49.27 kg pelbagai jenis dadah dirampas oleh agensi penguatkuasaan narkotik, daripada jumlah itu, 21.9 kg adalah dadah jenis Syabu, serbuk Ecstasy (25.8 kg), ketamin (1.4kg) dan ganja (68.81 gm).
“Bagi dadah dalam bentuk pil, sebanyak 13,666 biji telah dirampas di Sarawak, iaitu 11,105 biji adalah pil Eramin 5, 2,543 biji adalah pil Ecstasy dan 18 biji adalah pil Nospan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Berkala One Stop Committee (OSC) bagi menangani Isu Dadah dan Bahan Terlarang Sarawak (MIDS) Bulan Ogos bertempat di Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam.
“Sepanjang Ogos 2020, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Sarawak merekodkan sembilan tangkapan (11.3 peratus daripada 80 kes terkumpul sejak Januari 2020) di bawah Seksyen 39C dan empat tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (LLPK) ini.
“Dalam tempoh yang sama, JSJN telah menyita pelbagai jenis harta bernilai RM2,805,087.43 daripada pengedar dadah,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah, Fatimah berkata, sepanjang Ogos lalu, seramai 138 klien menerima rawatan pemulihan di Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) melalui perintah mahkamah, manakala 24 klien sedang mendapat rawatan secara sukarela di Klinik Cure and Care (C&C) Kuching yang dikendalikan oleh AADK Sarawak.
Oleh Zarina Abdullah