SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sebanyak 29,370 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM63,145.50 dalam serbuan ke atas sebuah tempat penyimpanan di Jalan Ding Lik Kong, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, seramai 10 suspek warga tempatan dan asing berumur dalam lingkungan 30-an hingga 50-an turut ditahan.
“Kita turut merampas pelbagai peralatan lain, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM575,693.50,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Sibu), hari ini.
Katanya, suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu ketika ditanya sama ada kes itu dikaitkan dengan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan dua beradik yang menjalankan perniagaan stesen minyak di Sibu, Zulkipli menegaskan ia tidak berkaitan.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Zulkipli menekankan anggotanya untuk menguasai teknik penyiasatan moden dan penggunaan peralatan canggih bagi meningkatkan kecekapan dalam siasatan jenayah.
“Peningkatan jenayah siber memerlukan kita lebih bersedia dengan pengetahuan yang berkaitan untuk menangani ancaman ini.
“Kita mesti terus memperkukuh disiplin, meningkatkan profesionalisme, dan menegakkan integriti dalam setiap aspek tugas kita, kerana kita bukan sekadar penguatkuasa undang-undang tetapi juga pelindung masyarakat,” tambahnya.
Zulkipli turut melahirkan rasa terima kasih atas dedikasi anggota polis Sibu yang bertungkus-lumus semasa Monsun Timur Laut (MTL) bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran operasi sepanjang tempoh tersebut.
“Pencapaian ini membuktikan PDRM sentiasa bersedia dan mampu menghadapi cabaran dalam apa jua keadaan.
“Walaupun tugasan khas ini telah selesai, kita tidak boleh leka. Tempoh pasca banjir juga memerlukan perhatian, terutamanya dalam membantu pemulihan kawasan terjejas dan memastikan keselamatan penduduk dipulihkan,” tegasnya.
Zulkipli sehubungan itu berharap agar semua pegawai dan warga IPD Sibu kekal komited menjalankan tugas harian.
Oleh Akun Giman