LIMBANG: Rakyat di Sarawak dinasihat tidak lalai dan cuai dengan perkembangan Covid-19 melalui varian baharu Arcturus yang mula dikesan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengesanan Arcturus di negeri ini memerlukan setiap orang mesti mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan dan mencegah penularan terutamanya semasa musim perayaan ini.
“Walaupun kita sudah merayakan hari raya seperti biasa, kita harus berjaga-jaga supaya covid-19 ini tidak akan merebak, jadi ini penting supaya kita tidak akan mengalami lagi keadaan seperti dulu.”
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui media pada sambutan hari pertama Aidilfitri di rumah terbuka Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail di Kampung Nauran.
Sempena Aidilfitri, beliau turut berharap ia dapat diraikan dengan penuh kemesraan, perpaduan dan semangat muhibbah antara kaum berlainan budaya dan agama yang menjadi kekuatan rakyat di Sarawak.
“Kita semua ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan semoga perayaan ini akan dapat meningkatkan semangat kerjasama perpaduan dalam kalangan kita.
“Saya berharap semangat ini akan dapat diteruskan untuk kepentingan kita dan kerjasama, perpaduan dapat diperkukuhkan supaya kita akan terus menikmati kestabilan, keamanan, keharmonian dan dapat kita menumpukan ke arah usaha untuk membangunkan kawasan kita ini, dan negeri serta negara pada keseluruhannya,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Awang Tengah dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, turut melakukan kunjungan ke rumah terbuka Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Kampung Bunga Raya.
Oleh ADENG EDRUS