FAIZAL BUJANG
TOKOH sukan terkemuka, Dato Rahman Lariwoo serius dan berminat untuk menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS).
Ia sekali gus bahawa beliau cuba memberi gambaran bersedia untuk bertanding pada Mesyuarat Agung Dwitahunan PBBS 2021/2023 bagi pemilihan barisan exco baharu badan induk berkenaan.
“Jika ada sokongan…bagi saya tiada masalah untuk mencuba nasib bertanding bagi mengintai peluang menduduki kerusi panas (Presiden PBBS) itu.
“Apa pun, saya perlu meneliti daripada pelbagai aspek dahulu sebelum tampil mengemukakan keinginan tersebut,” ujarnya ketika mengulas perkara itu.
Menurut beliau, tiada masalah baginya untuk mencurah kudrat mengemudi badan induk berkenaan mengambil kira pengalaman yang ada pada dirinya.
Tambah Dato Rahman, pelbagai program yang berada dalam radar minda beliau untuk dilaksana sekiranya dirinya mendapat mandat untuk menerajui PBBS.
Ia katanya, mencakupi program di peringkat akar umbi seperti pembangunan sukan bola sepak dan sebagainya.
Dato Rahman Lariwoo pernah menjadi Pengurus Pasukan Bahagian Samarahan untuk kempen Piala Sarawak 2008 yang turut menyaksikan Samarahan berjaya muncul juara.
Mengikut perancangan awal Mesyuarat Agung Dwitahunan PBBS dijadual berlangsung pada 28 Mac lalu.
Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diberitahu kelak selepas pengumuman ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ (PKP) oleh kerajaan pada 18 Mac ekoran kebimbangan penularan virus Covid-19 yang melanda negara dan dunia.