
VIENNA: Polis Austria menemui racun tikus dalam sebuah balang makanan bayi dalam satu siasatan yang menyaksikan syarikat HiPP menarik balik produk berkenaan susulan disyaki berlaku pencemaran, dengan firma itu menegaskan hari ini bahawa proses pengeluarannya bukan punca kejadian.
Ibu pejabat HiPP di Jerman mengumumkan penarikan balik produk di pasar raya SPAR di Austria, pada Jumaat berikutan kemungkinan bahan berbahaya dimasukkan ke dalam puri lobak merah bersama kentang disebabkan perbuatan khianat.
Sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan di Jerman, polis telah merampas beberapa balang di Austria, selain di Republik Czech dan Slovakia, menurut kenyataan polis di wilayah Burgenland, timur Austria, semalam.
“Sampel produk yang dirampas telah diperiksa semalam dan didapati positif mengandungi racun tikus,” kata pihak berkuasa.
HiPP hari ini menyatakan bahawa proses pengeluaran, kualiti dan kawalan adalah berfungsi sepenuhnya dan insiden itu tidak berkaitan sama sekali dengan kualiti atau pengeluaran produk.
“Berdasarkan maklumat semasa, seperti disahkan pihak berkuasa, kes ini hanya melibatkan saluran jualan tertentu,” kata jurucakap HiPP kepada AFP.
“Produk serta saluran pengedaran di Jerman atau negara Eropah lain yang tidak terlibat dalam siasatan ini tidak terjejas,” tambahnya.
Agensi perlindungan makanan Austria berkata pada Sabtu bahawa racun tikus itu mungkin dimasukkan sebagai sebahagian daripada cubaan pemerasan.
Pelanggan diminta supaya tidak menggunakan produk tersebut, yang boleh dikenal pasti melalui label putih dengan bulatan merah di bahagian bawah balang, sebaliknya memulangkannya ke kedai tempat pembelian.
Polis Republik Czech turut mengeluarkan amaran kepada pengguna melalui platform X hari ini.
Insiden ini merupakan yang terbaharu melanda pasaran makanan bayi.
Sejak Disember, beberapa pengeluar termasuk syarikat gergasi Eropah seperti Nestlé, Danone dan Lactalis telah menarik balik produk susu formula bayi di lebih 60 negara yang mungkin tercemar dengan toksin cereulide.
Beberapa bayi yang mengambil susu formula mengandungi cereulide yang boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit dilaporkan meninggal dunia, menurut pihak berkuasa Perancis.
Pendakwa raya Perancis bagaimanapun berkata pada Mac bahawa kematian seorang bayi pada Januari tidak kelihatan mempunyai kaitan dengan pengambilan susu formula tercemar tersebut. – AFP