Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Puisi
  • WBS

Puisi

Utusan Sarawak 6 hours ago


Saujana Teman

Meskipun jarak terbentang

Seluas pandangan,

Pernah kita harungi

Satu garisan bersama

Enam belas usia kita

Yang hanya tahu gelak dan tawa.

Ternyata kini,

Kita hanya empat nakhoda

Di atas samudera ilmu yang berbeza,

Dihempas ombak tuntutan membadai

Menuju jalur cita-cita.

Terpisah,

Seorang di selatan benua yang asing,

Seorang di seberang lautan yang membiru,

Dua di tanah kelahiran yang berjarak;

Bagai kompas pecah terhempas oleh kenyataan

Jarum terlihat arahnya yang berputar

Namun, kita masih bertaut

Pada garisan yang satu.

Tatkala rindu menyelubungi

Hanya skrin kecil setia menemani,

Perbualan singkat terdengar memecah tawa

Yang merentasi benua dan lautan yang luas.

Kita bukanlah saling meninggalkan

Tetapi hanya sedang mengutip cerita

Untuk dibawa pulang.

Maka, biarlah saujana ini terbentang

Kerana kita tahu jalan untuk kembali.


Conielya Vieda Anak Lawrence,

Sibu


Beban Kenangan

Di lorong sepi, ada kenangan berbisik

tinta di halaman silam melambai layu

tangis, tawa dan rahsia yang terpenjara

segalanya terkubur di sudut waktu yang padam.

Kulihat bayangmu larut di ufuk senja

rinduku tak lagi memanggil

sedikit demi sedikit aku menapak

di atas puing-puing memori

meninggalkan diam yang lama.

Detik yang berlalu

ialah guru yang bisu

mengasuhku melepaskan

beban yang tersisa di relung hati.

Niniefadzillea binti Iswandi


Pokok

bermula dengan benih

tertanam jauh ke dalam tanah

terikat erat bayang harapan

sinar mentari pendorong haluan

bersama titis hujan

pabila tumbuh

pucuk hijau disapa embun kasih

dedaun menari bersama angin

flora rencam rona

jadi kolaj bumi

tinggi menggalah

akar cengkam tanah

kini pokok megah

mula mendongak ke kaki awan

seraya berbisik pada mentari

hangatmu melemaskan

andai berselisih dengan angin

enggan menari lagi

titis hujan lemah meresapi dedaun rimbun

pokok sudah tegar

lupa asal ikatan harapan

(bangga pada hal yang bersifat sementara

padahal akan tiba masa)

ia akan bertukar sendu

layu, gugur, dan mati.

Wan Roslina Wan Yusof

Universiti Malaysia Sarawak

Continue Reading

Previous: Memilih dan Menyaring Kata dalam Penulisan Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.