PUNCAK keindahan bahasa mampu menjelma melalui penciptaan sajak. Kata-kata dipilih, ditimbang dan diadunkan dengan penuh ketelitian oleh penyajak untuk membentuk keindahan pengucapan serta ketepuan makna.
Setiap kata berfungsi menyampaikan sesuatu makna di samping membawa kejernihan perasaan, kedalaman pemikiran dan suara pengalaman manusia.
Dalam proses menukang sajak, penyajak sebenarnya sedang merakamkan rasa dan membentangkan fikir, sekali gus menitipkan kesan, renungan serta hikmah kepada khalayak pembaca.
Penyajak yang baik berupaya menciptakan kesegaran pengucapan, kejernihan perasaan dan kematangan pemikiran sepanjang perjalanan pengkaryaannya. Keupayaan ini tumbuh daripada kepekaan, pengalaman, pengamatan dan kesungguhan penyajak mengasah ketajaman daya kreatifnya.
Para penyajak sentiasa peka menyukat nilai rasa (perasaan) dan nilai makna (pemikiran) agar kedua-duanya seimbang dan saling melengkapi. Rasa tanpa fikir mungkin hanya melahirkan luahan emosi yang sementara.
Fikir tanpa rasa pula berkemungkinan menjadikan sajak terlalu kering, kaku dan sarat dengan pernyataan. Kedua-dua unsur ini perlu dijalin dengan bijaksana agar sajak mampu menjadi santapan minda dan jiwa masyarakat.
Kebijaksanaan yang tersirat di sebalik kata-kata yang tersurat mengundang khalayak untuk mendekati, menghayati dan menyelami sajak dengan lebih mendalam. Di sinilah letaknya kekuatan sajak, apabila sesuatu yang sederhana pada permukaan pengucapan mampu menyembunyikan lapisan makna yang luas untuk ditafsirkan.
Penyajak yang memiliki kepekaan kreatif mampu melahirkan persepsi baharu terhadap watak, peristiwa dan pengalaman kehidupan yang diungkapkan. Sesuatu yang biasa dapat diberikan sudut pandang yang luar biasa. Perkara yang kelihatan kecil mampu berkembang menjadi renungan yang besar.
Melalui pengolahan metafora, simbol, perlambangan dan personifikasi, penyajak dapat mengangkat pengalaman peribadi menjadi pengalaman bersama yang dekat dengan kehidupan khalayak.
Sebuah sajak yang baik dan bersifat malar segar tidak hanya bergantung pada keindahan susunan kata atau keunikan gaya pengucapannya. Lebih daripada itu, sajak perlu memiliki kekuatan rasa, kedalaman fikir dan ketahanan makna yang mampu merentasi waktu.
Sajak sedemikian akan meninggalkan kesan keindahan bahasa dan pemikiran dalam hati serta fikiran pembacanya. Pengucapannya mengalir jernih ke alur ingatan, menyentuh ruang kesedaran dan menetap dalam jiwa untuk tempoh yang panjang. Bahkan, setelah selesai dibaca, gema maknanya masih bergetar, mengundang pembaca untuk kembali merenung dan menemukan tafsiran baharu.
Sajak, “Ayah; Pencinta Tanpa Kata”, “Warung Kopi Papa” dan “Untuk Ayah yang Kian Berubah” berusaha untuk merakamkan rasa dan membentangkan fikir berkaitan dengan seorang ayah sebagai lambang kasih sayang, pengorbanan, ketabahan dan perubahan waktu.
Melalui sajak, “Ayah; Pencinta Tanpa Kata”, Shafida Rosllan menggambarkan seorang ayah sebagai lelaki yang tidak banyak mengungkapkan kasih sayang melalui kata-kata. Segalanya lebih dicurahkan melalui usaha, pengorbanan dan tanggungjawab terhadap keluarga:
(i)
Bahang mentari sudah sebati
mencemarkan kulitmu yang asli
tubuhmu jua tak mampu sembunyi
telagahmu bersama sendi-sendi.
(ii)
“Lelaki; usianya di neraca usaha
wajib tegar memimpin asa
wanita umpama sebuah pelita
biar berjelaga menerangi suasana”.
(iii)
Hampir tiada puitis cinta
terlantun dari bibirnya
cuma bait-bait pesan
juga keluhan kecil berhembusan
bersama kepul-kepul asap tenang
dari wira yang jarang didendang.
Sajak ini menarik kerana penyajak mampu melahirkan beberapa ungkapan yang berupaya menjentik rasa dan fikir para pembaca. Ungkapan “Pencinta Tanpa Kata” pada judul sajak membawa sebuah gagasan kerana mengandungi pertentangan makna yang memberikan kesan tersendiri.
Istilah pencinta lazimnya dikaitkan dengan ungkapan romantis dan luahan perasaan, sedangkan penyajak memperlihatkan seorang ayah yang menyampaikan kasihnya melalui tindakan. Inilah sudut pandang yang mempunyai nilai pemikiran kerana penyajak cuba memberikan tafsiran yang lebih luas terhadap bahasa cinta seorang lelaki.
Diksi “Bahang mentari sudah sebati” menjadi kiasan tentang kehidupan seorang lelaki yang telah terbiasa menghadapi kesusahan dan kepayahan. Ungkapan “tubuhmu jua tak mampu sembunyi/telagahmu bersama sendi-sendi” pula cuba memaparkan kesan usia dan kerja keras yang semakin membebani tubuh.
Penyajak tidak perlu menyatakan secara langsung bahawa ayah telah banyak berkorban kerana keadaan fizikalnya sudah cukup menjadi bukti.
Ungkapan “usianya di neraca usaha”/wajib tegar memimpin asa” terasa segar dan berkesan dalam menggambarkan bahawa usia seorang lelaki tidak diukur semata-mata melalui hitungan tahun.
Lebih daripada itu, melalui usaha dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang kehidupannya. Ini merupakan pemikiran yang menarik tentang kematangan, keteguhan dan peranan seorang lelaki dalam keluarga.
Kedalaman emosi sajak ini menjelma dalam rangkap terakhir melalui frasa “Hampir tiada puitis cinta/terlantun dari bibirnya/cuma bait-bait pesan/juga keluh kecil berhembusan”.
Baris ini menjadi inti kepada keseluruhan gagasan sajak. Ayah digambarkan sebagai insan yang tidak pandai mengungkapkan cinta. Kasih sayangnya mengalir melalui pesan, nasihat dan keluhan kecil.
Ungkapan “dari wira yang jarang didendang” pula memberikan penghormatan kepada golongan bapa yang sering menjadi wira dalam kehidupan keluarga tanpa mengharapkan pengiktirafan.
Sajak ini mempunyai gagasan yang baik dan dekat dengan pengalaman kehidupan masyarakat. Walau bagaimanapun ada beberapa bahagian yang boleh dimurnikan lagi.
Misalnya, baris “wanita umpama sebuah pelita/biar berjelaga menerangi suasana” yang tiba-tiba muncul dalam rangkap kedua masih boleh diperkukuh hubungannya dengan pengalaman khusus seorang ayah.
Selanjutnya, penggunaan tanda petik pada keseluruhan rangkap kedua menimbulkan persoalan tentang siapakah yang sedang berbicara. Adakah rangkap tersebut merupakan pesan seorang ayah, petikan falsafah atau suara penyajak sendiri? Kejelasan sudut pengucapan ini penting untuk membina kesatuan sajak.
Sajak “Warung Kopi Papa” tulisan Angel Samling membawa para pembaca memasuki sebuah ruang warung kopi. Di tempat sebegini selalunya dipenuhi dengan keriuhan dan perbualan mesra para pengunjung. Walau bagaimanapun dalam sajak ini suasananya berbeza. Dipenuhi dengan rasa sunyi, rindu dan kehilangan:
dalam sesak kota,
hujan menitik perlahan
berlabuh sebentar
di Warung Kopi Papa
bernyala redup
di sebalik pentas kosong
ada kerusi tanpa tubuh
cawan tanpa bibir
sunyi memahat nama.
namun,
aroma kopi masih segar
asap lembut berpilin di udara
jam menoreh ruang
perlahan menelan gema.
dalam hirup
waktu menitis perlahan
manisnya singgah
pahitnya kekal.
Penyajak mampu menjadikan ruang biasa sebagai medan renungan yang luar biasa. Sebuah warung kopi yang lazimnya dikaitkan dengan pertemuan, perbualan dan kemesraan manusia telah diubah menjadi ruang kesunyian.
Perubahan persepsi ini memperlihatkan kepekaan kreatif penyajak dalam memberikan makna baharu kepada sesuatu yang biasa.
Dapat dikesan beberapa ungkapan yang menarik dan segar terutama pada dalam rangkap kedua. Diksi ‘Kerusi tanpa tubuh’ dan ‘cawan tanpa bibir’ ini membawa imej-imej yang sederhana namun berupaya membangkitkan tanggapan secara halus di fikiran para pembaca.
Kedua-duanya membayangkan ketiadaan seseorang yang pernah hadir dan mengisi ruang tersebut. Penyajak tidak menyebut secara langsung tentang kematian, kehilangan atau perpisahan. Hanya membiarkan para pembaca menemukan sendiri makna di sebalik benda-benda yang ditinggalkan.
Ungkapan “sunyi memahat nama” pula menampilkan penggunaan personifikasi yang berkesan. Kesunyian diberikan keupayaan untuk mengukir atau mengabadikan sesuatu nama. Ini membawa pengertian bahawa walaupun seseorang telah tiada, kehadirannya masih terakam dalam ruang kenangan.
Seterusnya, penyajak memilih kopi dan asap sebagai lambang kesinambungan kehidupan, sedangkan masa terus bergerak dan menelan segala peristiwa silam. Penggunaan ungkapan “jam menoreh ruang” menggambarkan masa yang berlalu turut meninggalkan kesan luka atau torehan pada kehidupan.
Sajak ini memiliki kekuatan dalam pemilihan imejan dan suasana. Walau bagaimanapun, beberapa bahagian masih boleh diperkemas lagi bagi menghasilkan kesatuan makna.
Hubungan Warung Kopi Papa dengan persoalan kehilangan masih agak kabur. Apakah warung kopi tersebut milik ayah penyajak/watak dalam sajak atau nama sebuah warung yang bernama Warung Kopi Papa? Jika ikut ejaan yang digunakan oleh penyajak (dengan huruf besar pada setiap permulaan kata), ia merupakan nama khas, iaitu nama sebuah warung.
Penyajak wajar memberikan sedikit petunjuk tentang hubungan warung tersebut dengan ayahnya, jika ada. Sedikit pengukuhan terhadap hubungan ini boleh menjadikan kesan emosinya lebih mendalam tanpa perlu menjelaskan segalanya.
Secara keseluruhan, sajak ini lebih menyerlah pada nilai rasa dan kesegaran imejan. Unsur fikir masih boleh diperdalam agar maknanya tidak hanya berlegar pada pengalaman kehilangan. Harus mampu berkembang menjadi renungan kemanusiaan yang lebih sejagat.
Sajak “Untuk Ayah yang Kian Berubah” hasil karya Azia Nur membawa persoalan perubahan seorang ayah akibat perjalanan waktu, pertambahan usia dan beban kehidupan:
Tika saat menjadi duri
jarumnya menikam
kau tetap di bulan sabar
masih di tahun bertahan
cekal menopang beban
makin sarat dibahu
biarpun bibir menguntum senyum
ada kisah terlipat pada diammu
takungan lesu di pelupuk mata
kelelahan mencuri mudamu
senja merenyuk kulit
tubuh gagah kian lengai
maaf, terlambat fahami derita
haruskah kurejam waktu
yang merelaikan pelukan?
Gagasan utama sajak ini berpusat pada kesedaran dan penyesalan seorang anak yang mula memahami pengorbanan dan penderitaan ayah setelah melihat perubahan fizikal serta emosinya. Dapat dihayati kejujuran perasaan dan perkembangan emosi yang dibina secara berperingkat.
Penyajak bermula dengan gambaran kesabaran seorang ayah menghadapi kesukaran hidup. Kemudian bergerak kepada bayangan beban yang semakin berat. Diakhiri dengan kesedaran seorang anak tentang perubahan dan penderitaan ayahnya.
Melalui diksi “tika saat menjadi duri/jarum jam menikam”, penyajak membina metafora tentang kehidupan yang penuh dugaan. Duri dan jarum menjadi lambang kesakitan serta cabaran yang dihadapi seorang ayah. Ungkapan “bulan sabar” dan “tahun bertahan” pula cuba menggambarkan kesabaran yang panjang dan berterusan.
Kedalaman emosi dapat ditangkap menerusi diksi “cekal menopang beban/makin sarat di bahu” dan “biarpun bibir menguntum senyum/ada kisah terlipat pada diammu”.
Penyajak berjaya menghamparkan pertentangan antara wajah luar dengan perasaan dalaman seorang ayah. Senyuman bukan semestinya menggambarkan keceriaan, sementara diam tidak bermaksud tanpa derita.
Diksi “takungan lesu di pelupuk mata/kelelahan mencuri mudamu” merupakan diksi terbaik dalam sajak ini. Hal ini terjadi kerana ia dipenuhi dengan metafora dan personifikasi yang menarik dan segar.
Seterusnya dapat memberikan bayangan kepada para pembaca tentang kelesuan dan kepenatan seorang bergelar ayah.
Penyajak juga bijak menggunakan imej fizikal untuk memaparkan perubahan usia seorang ayah. “Senja merenyuk kulit” merupakan perlambangan yang menarik kerana senja menandakan penghujung hari, di samping turut membawa makna usia tua dan kemerosotan kekuatan tubuh.
Secara keseluruhannya, sajak ini menarik dari segi gaya pengucapan dan daya pemikiran dan kedalaman perasaannya. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk memantapkan lagi pemilihan imej bagi mengelakkan pengulangan yang tidak perlu.
Ungkapan “tika saat menjadi duri/jarumnya menikam” agak bertindih dari segi gambaran. Duri dan jarum sama-sama membawa makna sesuatu yang tajam dan menyakitkan.
Tidak perlu lagi diungkapkan bahawa duri memiliki jarum Penggunaan kedua-duanya secara berturutan boleh menimbulkan pengulangan makna yang serupa. Penyajak boleh memilih satu imej yang lebih dominan dan mengembangkannya dengan lebih terarah. Mungkin diksi tersebut boleh dimurnikan seperti berikut:
Tika saat menjadi duri
tajamnya menikam
Ketiga-tiga sajak yang dibincangkan menampakkan usaha penyajak dalam merakamkan kasih sayang, pengorbanan, ketabahan dan perubahan seorang ayah melalui pendekatan pengucapan yang berbeza.
Setiap sajak memiliki kekuatan tersendiri dari segi kedalaman rasa, pemikiran dan penciptaan ungkapan yang segar. Ada yang lebih menyerlah melalui kejujuran emosi, pembinaan imejan dan perlambangan. Ada pula yang menarik melalui gagasan serta sudut pandang yang mencabar kelaziman.
Walau bagaimanapun, pemilihan diksi, kesatuan makna dan ketelitian pengolahan imej masih perlu diberikan perhatian agar pengucapan menjadi lebih jernih dan berkesan. Di samping gaya bahasa, kekuatan sesebuah sajak juga bergantung kepada keupayaannya menyatukan rasa dan fikir.
Sehingga akhirnya, pengalaman peribadi mampu berkembang menjadi renungan kemanusiaan sejagat yang mendalam dan penuh bermakna.
Oleh Abizai





