
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM60.1 juta menerusi pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 40,099 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Awam (UA) dan politeknik bagi sesi kemasukan Jun 2026.
PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan setiap pelajar yang layak akan menerima WPP sebanyak RM1,500 bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.
Menurut kenyataan itu, WPP diberikan kepada warganegara Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan berkenaan semasa membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA, selain ibu bapa atau penjaga mereka merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
“Semenjak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 30 April 2026, seramai 999,838 orang pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion,” menurut kenyataan itu.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikan kemudahan itu di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula hari ini dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad.
PTPTN memaklumkan tempoh sah laku WPP adalah dua bulan bermula hari ini (10 Jun) hingga 9 Ogos depan.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata pihaknya sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik,” katanya.
Menurut kenyataan itu pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN mengikut tarikh yang ditetapkan oleh UA dan politeknik masing-masing bagi memastikan proses kelulusan berjalan lancar.
Selain itu, pemohon juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi sama.- Bernama