KOTA SAMARAHAN: Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Kota Samarahan menyahut seruan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membudayakan norma baharu dalam komuniti khususnya di luar bandar Sarawak.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Awang Raduan Awang Omar yakin Kempen Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti yang diadakan ini dapat mendekatkan JTK dengan golongan luar bandar dalam usaha menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada mereka.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti yang berlangsung PTK Kota Samarahan di sini, awal pagi semalam.
Menurutnya, program ini adalah seiring dengan program utama JTK iaitu Labour Grap (Go Rural Area Programme) dan bakal disambung terus dengan sambutan Hari Malaysia.
Tambahnya, program ini menyasarkan individu, keluarga dan komuniti dalam usaha mencegah penularan Covid-19 dengan mengamalkan pendekatan CAPP (Cegah, Amal, Patuh, Pantau).
“C bermaksud cegah Covid-19 dengan mendidik keluarga serta komuniti mengenai kelaziman baharu kehidupan dan A pula bermaksud amalkan tingkah laku bagi mengelakkan diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan Covid-19.
“P yang pertama bermaksud pengoperasian sektor utama negara dan arahan lain kerajaan manakala P bermaksud pantau status kesihatan diri dan keluarga, segera dapatkan rawatan jika bergejala,” ulasnya lagi.
Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa pembudayaan saringan suhu badan dan gejala sebelum memasuki tempat kerja, institusi pendidikan, pusat jagaan seperti rumah orang tua adalah sangat penting dan harus diamalkan sepanjang tempoh pemulihan ini.
Pada masa sama, beliau berkata, seramai 37 kakitangan JTK terlibat dengan program ini dan 10 kenderaan digunakan sepanjang konvoi ini dijalankan.
“Kami mempunyai tujuh lokasi perhentian yang ditetapkan iaitu di Sebuyau, Pusa, Kabong, Sarikei, Tanjong Manis, Bintangor dan Belawai.
“Konvoi yang bermula mula hari ini (11 September) akan menamatkan kemuncaknya di Kampung Jerijeh, Belawai pada 15 September nanti,” ujarnya.
Tambahnya, semua 16 cawangan JTK di Sarawak melancarkan program pembudayaan ini semalam, namun pada waktu berbeza.
Oleh Akmal Adib Yusup