Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • PSIEA terus jadi pemangkin kemajuan industri di Sarawak
  • BISNES

PSIEA terus jadi pemangkin kemajuan industri di Sarawak

Utusan Sarawak 3 weeks ago
DATUK Dr Malcolm Mussen Lamoh (dua, kiri) menerima cenderahati daripada Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg pada Majlis Pelancaran Premier of Sarawak Industry Excellence Award (PSIEA) 2025 di TEGAS Digital Village, Sama Jaya High Tech Park, hari ini. Foto BERNAMA

KUCHING: Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin utama dalam memperkasa daya saing industri tempatan, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PSIEA bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan pemain industri, malah menjadi landasan penting dalam melonjakkan standard perniagaan tempatan ke tahap yang setara dengan penanda aras kebangsaan dan global.

DATUK Dr Malcolm Mussen Lamoh berucap pada majlis Pelancaran Premier of Sarawak Industry Excellence Award (PSIEA) 2025 di TEGAS Digital Village, Sama Jaya High Tech Park, hari ini. Foto BERNAMA

“Sejak penganjurannya dimulakan, PSIEA telah memberi impak besar kepada pertumbuhan sektor industri di negeri ini.

“Sehingga tahun ini (2025), sebanyak 94 organisasi dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan telah mengambil bahagian, menyumbang nilai sekitar RM188 juta kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh ketika Majlis Pelancaran PSIEA di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya PSIEA yang diiktiraf di peringkat nasional melalui Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) membuktikan bahawa standard tinggi yang ditetapkan mampu meningkatkan prestij syarikat yang menerima pengiktirafan ini.

Beliau pada masa sama turut memuji usaha konsisten Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dalam memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan penggiat industri di negeri ini.

“Inisiatif ini amat bertepatan dengan hala tuju kerajaan negeri dalam memperkukuh keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membuka peluang kepada mereka untuk berkembang di peringkat lebih tinggi.

“PKS kekal sebagai tulang belakang kepada struktur ekonomi Sarawak.

“Melalui dasar yang tepat, sokongan insentif serta program pembangunan kapasiti, kerajaan komited membantu mereka menyesuaikan diri dalam ekosistem ekonomi global yang sentiasa berubah,” ujarnya.

Tambah beliau, PSIEA bukan sekadar platform anugerah semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai agen pendorong kepada amalan terbaik dalam perniagaan termasuk aspek kepimpinan organisasi, kemudahan, pemerkasaan bakat serta pendigitalan menyeluruh.

Turut hadir Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato Jefri Ahmad Tambi; Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Dr Mazlina Shafii; Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Digital Village, Udin Bujang serta Presiden Persatuan SME Sarawak, Jordan Ong.

Oleh Rynna Sha’erra

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: China henti pembelian, MAG bincang dengan Boeing dapatkan pesawat lebih awal
Next: Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir enam bulan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.