
LIVERPOOL: Paris Saint-Germain (PSG) mengejutkan The Reds di Anfield apabila mencipta kemenangan menerusi sepakan penalti Liverpool 4-1 dalam penentuan penalti pada aksi timbal balik pusingan 16 akhir.
Dengan kemenangan itu, Paris Saint-Germain berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sekali gus bertemu sama ada Aston Villa atau Club Brugge bulan depan.
Villa melayan kunjungan kelab Belgium itu di Villa Park dengan kelebihan 3-1.
Ketinggalan 1-0 selepas perlawanan pertama di Paris minggu lalu, PSG mengikat kedudukan secara agregat hasil jaringan minit ke-12 Ousmane Dembele di Anfield.
Perlawanan berlarutan ke masa tambahan, namun tiada jaringan dihasilkan dan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma membuktikan kehebatannya apabila menyelamatkan sepakan Darwin Nunez dan Curtis Jones, manakala Vitinha, Goncalo Ramos, Dembele dan Desire Doue menyempurnakan sepakan untuk pelawat.
Sementara itu, pengendali Liverpool, Arne Slot menganggap kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sebagai satu kejutan, namun kekalahan di tangan Paris Saint-Germain hadir selepas tentangan sengit yang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
“Sudah pasti ia mengejutkan. Tetapi jika anda terpaksa keluar, dan keluar dengan cara yang kami lalui menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah serta memberi tentangan sengit, saya rasa peminat di seluruh dunia berharap perlawanan ini akan berterusan kerana ia menakjubkan. Dan mereka, pada akhirnya, menang,” katanya.
Penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma menyelamatkan sepakan penalti Darwin Nunez dan Curtis Jones, manakala pelawat menyempurnakan keempat-empat sepakan penalti mereka di Anfield.
Liverpool masih mendahului Liga Perdana Inggeris dengan selesa dan akan bertemu Newcastle United pada final Piala Liga di Wembley, Ahad ini.-AFP