KUCHING: Keadaan di semua 31 kawasan Parlimen di Sarawak terkawal dan tiada sebarang laporan dibuat yang boleh mengganggu proses pengundian PRU15 setakat pagi ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (gambar) berkata tiga permit telah dikeluarkan atas kes memusnahkan kain rentang.
“Ketiga-tiga permit ini dikeluarkan malam tadi di Sarikei. Kita akan buka kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Seramai lapan suspek ditahan atas kesalahan yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen,”katanya ketika ditemui pemberita di SK Merpati Jepang, di sini hari ini.
Kataya, sepanjang tempoh kempen (5 hingga 18 November), polis menerima 72 laporan dan membuka 25 kertas siasatan.
“Secara kumulatif, sebanyak 3,108 permit telah dikeluarkan di seluruh negeri sepanjang tempoh berkempen yang mana 171 daripadanya dikeluarkan berikutan ceramah yang diadakan tanpa permit.
“Kita berharap pengundi dan ahli parti mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar proses pilihan raya umum berjalan lancar.”
Mengulas mengenai kawasan yang dilanda banjir, Azman menjelaskan proses pengundian masih berjalan di kawasan-kawasan terjejas.
“Ini kerana kita telah menukar tempat proses mengundi supaya tidak timbul isu banjir,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA