DEMONSTRASI… Cef Goh Ah Seng dan Cef Suling Lajus menunjukkan demonstrasi hidangan masakan kepada pengunjung semalam.
BAU: Sarawak sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan tradisi yang menarik dan unik.
Maka tidak hairanlah apabila makanan menjadi antara titik pemasaran yang baik untuk negeri ini khususnya daripada segi pelancongan.
Sehubungan itu, bersempena perayaan Gawai Dayak yang akan datang, Persatuan Tukang Masak How Yu Kuching tampil dengan inisiatif tersendiri dengan menganjurkan ‘Demonstrasi Memasak Masakan Borneo’ bertujuan mempromosikan industri pelancongan di Sarawak.
Diadakan bertempat di pusat penjaja ‘Tasik Biru Food Village’ bersebelahan Tasik Biru yang merupakan tumpuan destinasi pelancongan domestik di sini, demonstrasi tersebut telah berlangsung selama tiga jam bermula dari pukul 11 pagi hingga 2 petang.
Berucap pada acara perasmian demonstrasi masakan tersebut semalam, Presiden Persatuan Tukang Masak How Yu Kuching, Chef Goh Ah Seng berkata, program tersebut dijalankan dengan beberapa objektif tertentu.
“Antara objektif utama demonstrasi hari ini adalah untuk mempromosikan hidangan masakan baharu Sarawak iaitu Borneo Lemongrass Braised Chicken kepada orang ramai sekali gus mempromosikan masakan Borneo yang terkenal dengan kepelbagaian keunikan.
“Sementara itu, program hari ini (semalam) juga diadakan bagi mempromosikan masakan Borneo ke peringkat antarabangsa selain meningkatkan popularitinya dalam kalangan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Dengan pengalaman masakan lebih 40 tahun, Chef Goh Ah Seng turut memberitahu program tersebut dianjurkan bagi mencari lebih ramai bakat muda serta memberikan latihan kepada mereka dalam bidang masakan dan kulinari.
Katanya, sekiranya mereka berminat untuk mempelajari seni kulinari, salah satu penganjur program tersebut iaitu Seni F&B Management Sdn Bhd dapat menawarkan pelbagai pilihan alternatif kepada mereka.
Untuk rekod, demonstrasi masakan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Lee Chin Teck dari Tecktonic and Sons Holdings Sdn Bhd, Seni F&B Management Sdn Bhd, Regal City College, Nestle, Annaliew Buffalo Company, Liansin Trading Company dan Precious Foods Products.
Pada program itu juga, orang ramai
berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan daripada tukang masak terkenal daripada Persatuan Tukang Masak How Yu Kuching melibatkan empat hidangan utama seperti Borneo Lemongrass Braised Chicken, Stir Fry Prawn with Salted Egg, Shanghai Champion Lamb dan Nasi Briyani.
Pengunjung yang hadir turut menerima kupon untuk menebus satu set makan tengahari dan beberapa buah tangan (door gift) selain sesi cabutan bertuah juga disediakan kepada mereka sebelum program tersebut tamat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep, Pengarah Urusan Tecktonic and Sons, Lee Chin Teck, Kaunselor Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dato Sim Kiang Chiok dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.
Oleh SYAMIMI HUSNA