KUCHING: Projek rumah mampu milik Sri Pertiwi ‘Samariang Avenue’ mendapat sambutan menggalakkan dari warga Sarawak dengan semua 90 unit telah habis ditempah sehingga kini.
Projek pertama Hornbill Network Consortium itu dilancarkan oleh Hornbil Network Consortium Sdn Bhd.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanizam Hashim berkata projek ini yang terdiri daripada 90 unit rumah mampu milik terletak berhampiran dengan Jalan Sultan Tengah, Petrajaya, Kuching dan di hadapan Kompleks Anak Yatim Laila Taib.
“Kami telah melihat sambutan yang menggalakkan untuk projek ini dan diharapkan kami akan melancarkan fasa kedua kami pada bulan Jun tahun depan.
“Kami berharap dengan menyediakan rumah yang berkualiti dengan membawa inovasi untuk membina rumah, lebih ramai orang Sarawak akan menerima falsafah kami.
“Kami juga berharap semua yang hadir di sini akan terus menyokong kami pada masa akan datang,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Pejabat Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd anjuran Hornbill Networks Consortium di Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, ini merupakan tahun yang mencabar bagi kebanyakan orang terutama pada masa Covid-19 ini dan pihaknya berharap agar negara dapat memenangi perang ini selama-lamanya.
“Walaupun begitu, kehidupan harus diteruskan dan kami bersyukur kerana rakan perniagaan telah menyokong dan lebih-lebih lagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang telah membantu kami dalam perniagaan,” ujarnya.
Tambah Hanizam, syarikat ini diasaskan oleh beliau dan Pengerusi Bukan Eksekutif, Datuk Hj Kadies Sahib dengan objektif utamanya bagi menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat Sarawak.
Hadir sama, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais.