
SARIKEI: Projek pembinaan Jalan Sarikei ke Kampung Bukit Kinyau sepanjang 12 kilometer (km) melibatkan peruntukan lebih RM80 juta dijangka akan meningkatkan dan merangsang pembangunan luar bandar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek tersebut diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) melibatkan sambungan ke Sentebu berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) St Andrew, Sare.
“Pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan merupakan strategi penting kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan kemajuan kawasan luar bandar.
“Tidak lama lagi kita akan membuka (secara rasmi) Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi ke Tanjung Manis.
“Ini akan memudahkan perhubungan dari Sarikei, Jerijih, Belawai dan kawasan sekitarnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang ketika berucap di majlis santai Belia dan Pemuda anjuran Pemuda Kuala Rajang di salah sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Majlis pra pelancaran Jambatan Batang Rajang telah diadakan pada 27 Mac lalu oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, perancangan untuk membangunkan jaringan jalan dan jambatan tersebut telah dirangka lebih 30 tahun lalu, namun kekangan kewangan menyebabkan ia hanya dapat dilaksanakan pada masa kini.
“Pembangunan infrastruktur memerlukan perancangan jangka panjang dan kos yang besar.
“Tanpa wawasan dan perancangan rapi, semua ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau yakin dengan siapnya projek infrastruktur ini, aktiviti ekonomi setempat akan berkembang pesat, khususnya dalam mempercepatkan pemasaran produk tempatan di kawasan sekitarnya.
“Yang tinggal hanyalah kemahuan dan tekad para usahawan untuk memasarkan produk masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Len Talif menyeru golongan belia agar terus mendukung dan menyebar dasar pembangunan kerajaan yang telah membawa perubahan nyata kepada kawasan luar bandar.
Tambahnya, mereka adalah pewaris kepimpinan negeri dan penyambung legasi pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Oleh Earl Anek