BINTANGOR: Projek naik taraf sistem retikulasi paip bandar Bintangor di bawah projek Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bernilai RM25,000,000 dijangka bermula pada Ogos tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, projek tersebut akan siap pada Oktober 2026, mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan.
“Selain itu, projek naik taraf saluran paip air di jalan utama Kung Cheng, Sungai Mador telah diluluskan dan projek berkenaan adalah bernilai RM3 juta.
“Paip sepanjang 12 kilometer (km) akan dinaik taraf di kawasan tersebut dan ia dijangka siap dalam tempoh lapan bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian di sesi dialog JBALB Bahagian Sarikei dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei bertempat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong pada semalam.
Koung Hiing turut menyeru kepada DID Bahagian Sarikei agar membuat tinjauan masalah perparitan di Rumah Jerome Liban, Sungai Baron kerana halaman rumah panjang telah dibanjiri air pasang dan menyebabkan tanah runtuh baru-baru ini.
“Berkenaan dengan masalah saluran paip air di kawasan Rumah Jerome Liban, saya akan memaklumkan kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi agar masalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu, Jurutera Bahagian (DE) JBALB Bahagian Sarikei, Chieng Ngih Wei berkata saluran paip utama dari Jalan Kelupu menuju ke Stesen Penggalak Tulai bernilai RM10,000,000 akan disambungkan pada Ogos ini dan turut dijangka siap pada Oktober 2026.
Chieng juga memberi taklimat berkenaan status projek Stesen Penggalak Lemayong dan Loji Rawatan Air Bayong Fasa 2 kerana ia berhubung dengan isu air di kawasan Sungai Lemayong dan Jalan KJD Bintangor.
Turut hadir, Penolong Jurutera DID Bahagian Sarikei, Aneves Lang, Pemanca Yii Hee Sieng dan Tuai Rumah Jerome Liban.
Selepas sesi dialog, Koung Hiing bersama Aneves Lang turut menjalankan tinjauan masalah perparitan di Rumah Ngipa, Sungai Buloh.
Beliau berharap pihak DID Bahagian Sarikei dapat menyelesaikan masalah perparitan tersebut.
Oleh Earl Anek