
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan meluluskan projek menaik taraf bangunan Lapangan Terbang Miri dengan kos RM445 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus memperkukuh peranan lapangan terbang itu sebagai hab utama di utara Sarawak.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kelulusan projek tersebut dibuat oleh Kementerian Ekonomi pada 27 April lalu selepas melalui sesi pemurnian Makmal Kajian Nilai pada 17 Mac lalu.
“Projek ini penting memandangkan Lapangan Terbang Miri merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Sarawak selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Selain menjadi lapangan terbang domestik utama, Miri juga berfungsi sebagai hab utama Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang menghubungkan kawasan bandar dengan pedalaman di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Laluan Baharu BAS.MY Kuching di The Summer Mall, di sini hari ini.
Tambah beliau, projek naik taraf itu akan meningkatkan kapasiti penumpang daripada 2 juta kepada 4 juta penumpang setahun, selain menampung keperluan trafik pada masa hadapan melalui pembesaran terminal dan kemudahan berkaitan.
“Penambahbaikan turut melibatkan penggunaan sistem digital dan automasi seperti daftar masuk layan diri serta proses migrasi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman penumpang.
“Projek ini juga akan memastikan tahap perkhidmatan berada pada standard optimum seperti ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA),” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan naik taraf itu juga akan meningkatkan keselesaan pengguna terminal termasuk penumpang dan pengendali RAS, selain memperkukuh keselamatan melalui pengasingan sepenuhnya penumpang domestik dan antarabangsa mengikut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Untuk rekod, Lapangan Terbang Miri merupakan antara pintu masuk utama ke utara Sarawak serta menjadi penghubung penting kepada kawasan pelancongan seperti Mulu selain rangkaian penerbangan domestik dan luar bandar.
Oleh Masrin Affirah