
SPAOH: Projek naik taraf Jalan Ulu Rimbas bernilai RM25 juta kini dalam proses tender dan dijangka bermula pada Jun ini sebagai usaha kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat di kawasan luar bandar menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan selamat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk terutama yang bergantung kepada sektor pertanian seperti kelapa sawit dan lada.
“Kita mahu masyarakat terus maju, terutama dalam sektor pertanian seperti kelapa sawit dan lada yang mampu meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mantar Hari Gawai 2026 anjuran Gerempung Tuai Rumah (GTR) Rimbas Ulu di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata sambutan Hari Gawai juga perlu dijadikan platform untuk memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum selain memelihara seni, adat dan warisan budaya masyarakat Dayak agar terus diwarisi generasi muda.
Beliau berkata kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk program baik pulih rumah, penambahbaikan infrastruktur serta subsidi kepada petani sebagai persediaan mencapai sasaran pembangunan negeri menjelang 2030.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM30,000 kepada GTR Rimbas Ulu bagi menyokong aktiviti komuniti dan kebudayaan.
Sempena sambutan Hari Gawai yang bakal tiba, beliau turut mengumumkan peruntukan khas kepada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita di kawasan Rimbas Ulu.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta Ketua Pengarah Jabatan Biokeselamatan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Dr Lornie Enggong.
Oleh Adi Safarman