Projek naik taraf jalan Ulu Rimbas bermula, siap sepenuhnya pertengahan 2028

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BETONG: Projek naik taraf jalan Ulu Rimbas secara rasmi memasuki fasa pelaksanaan selepas Mesyuarat Permulaan Projek (Kick-Off Meeting) diadakan dekat sini, semalam.

Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR), mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Betong bagi menyelaras pelaksanaan projek sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Sejurus selepas mesyuarat itu, sesi penyerahan tapak bina kepada pihak kontraktor turut dilaksanakan dengan lancar, sekali gus menandakan bermulanya kerja-kerja fizikal projek berkenaan.

MESYUARAT Permulaan Projek (Kick-Off Meeting) yang diadakan di Pejabat JKR Bahagian Betong dekat sini semalam. Foto: JKR

Projek di bawah program Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 20.5 kilometer kepada Piawaian Jalan JKR R3.

JKR memaklumkan projek berkenaan dijadualkan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2028.

Apabila siap kelak, jalan yang dinaik taraf itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di sekitar Debak, khususnya komuniti di sepanjang Jalan Ulu Rimbas.

Projek tersebut akan menyediakan rangkaian jalan raya yang lebih selamat, selesa dan berkualiti, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna.

Selain itu, kemudahan infrastruktur yang lebih baik akan mempertingkatkan tahap perhubungan dan aksesibiliti penduduk ke kawasan sekitar.

Ia juga dijangka memudahkan urusan harian masyarakat, termasuk pergerakan barangan serta akses kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

Menurut JKR, pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat. 

Turut hadir pada sesi tersebut, wakil JKR Bahagian Betong, Agensi Pembangunan Bahagian Betong, Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta pihak kontraktor.

Oleh Adi Safarman