Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Projek naik taraf jalan RM20 juta berita baik buat warga Bintangor
  • Tengah
  • WILAYAH

Projek naik taraf jalan RM20 juta berita baik buat warga Bintangor

Utusan Sarawak 7 hours ago
BERBAKAT…Datuk Ding Koung Hiing mempersembahkan tarian ngajat semasa kunjungan ke rumah panjang sempena sambutan Hari Gawai. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Kelulusan projek menaik taraf jalan utama dari Kampung Rancak menuju ke bandar Bintangor bernilai RM20 juta menjadi berita baik kepada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.

“Projek yang dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) ini telah mula dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

RAKAM KENANGAN… DATUK Ding Koung Hiing bergambar bersama penduduk rumah panjang dan rombongan SUPP Cawangan Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong

“Ia merupakan antara usaha berterusan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkukuhkan infrastruktur dan mempertingkatkan sistem perhubungan di kawasan luar bandar serta bandar kecil demi kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor berkata demikian ketika mengadakan kunjungan sempena sambutan Hari Gawai ke beberapa rumah panjang di kawasan Tanah Putih, Sungai Petai, Skim B Meradong, Jalan KJD, Ulu Stras dan Sungai Buloh bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun.

Kunjungan tersebut disambut meriah oleh penduduk rumah panjang menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan yang diadakan sepanjang sambutan perayaan berkenaan.

Selain menyampaikan sumbangan dan beramah mesra dengan penduduk, beliau turut meluangkan masa menyertai pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat termasuk menyampaikan beberapa lagu, poco-poco dan mempersembahkan tarian ngajat.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat setempat agar terus memberikan sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan agenda pembangunan di kawasan DUN Meradong dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada masa hadapan.

Katanya, kestabilan politik serta kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan amat penting bagi memastikan pelbagai projek pembangunan serta kemudahan asas dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Sempena sambutan Hari Gawai, Koung Hiing turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya serta memandu dengan berhemah ketika pulang ke tempat pekerjaan selepas meraikan perayaan bersama keluarga dan sanak saudara.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Chieng Buong Ong; Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon; Kapitan Wong Mee King; Kapitan Wong Leh Hee dan Konselar Tang Kieh Ming.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pokok tumbang halang laluan di Jalan Pantai Lutong
Next: Golongan wanita digesa rebut peluang keusahawanan dan manfaat teknologi digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.