Projek MRSM Lawas diteruskan, masalah perjawatan telah diatasi

Facebook
WhatsApp
TEPIS KEKELIRUAN…Rubiah memberi respon berhubung isu-isu melibatkan KKDW dan juga projek-projek yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat di Sarawak.

LAWAS: Pelaksanaan projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lawas akan dimulakan tahun ini selepas Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berjaya menyelesaikan isu perjawatan yang sebelum ini menjadi punca kelewatan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata projek berkenaan tertangguh bukan disebabkan kekangan kewangan, sebaliknya isu dalaman berkaitan kelulusan jawatan tenaga pengajar.

“Masalah sebelum ini adalah dari segi perjawatan, bukan kewangan. Ia melibatkan keperluan tenaga pengajar di MRSM,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebelum ini kekurangan perjawatan menyebabkan beberapa MRSM baharu terpaksa ditangguhkan dan menggunakan peruntukan dalaman bagi membayar gaji kakitangan.

“Dua tahun lepas tiada perjawatan khusus, jadi kita gunakan peruntukan dalaman untuk tampung sementara. Namun projek ini tidak dibatalkan, hanya ditangguhkan sementara,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan positif dicapai apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan diperlukan, sekali gus membolehkan projek MRSM Lawas dan satu lagi di Tanah Merah dilaksanakan tahun ini.

SAMBUTAN MERIAH…Datuk Rubiah Wang menyambut ketibaan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama kumpulan kebudayaan Lun Bawang Kampung Murud Suang.

“Alhamdulillah, JPA telah meluluskan perjawatan dan kita juga telah menambah baik bangunan sedia ada. Tahun ini kita mulakan pelaksanaan MRSM Lawas dan Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pecah tanah projek pembinaan jalan dari Kampung Murud Suang ke persimpangan Kampung Long Pos di sini, semalam.

Rubiah turut memaklumkan, projek MRSM Lawas sebelum ini dibangkitkan dalam Program Sarawakku Sayang di Limbang dan mendapat tindakan segera daripada kementerian berkaitan.

Katanya, pelaksanaan MRSM itu akan memberi manfaat kepada pelajar di Lawas, Limbang dan kawasan sekitarnya.

Oleh Adeng Edrus