
SIBU: Konflik geopolitik dunia yang semakin memuncak dijangka memberi tekanan langsung kepada kos sara hidup rakyat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau berkata, pergelutan melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Russia, serta ketegangan di Asia Barat berpotensi mengganggu rantaian bekalan global sekali gus meningkatkan kos logistik dan harga barangan.
“Walaupun konflik ini berlaku di luar negara, kesannya tetap dirasai di dalam negeri melalui kenaikan harga dan gangguan bekalan yang berada di luar kawalan kita.
“Kos logistik dan insurans semakin meningkat, dan jika keadaan ini berterusan, rakyat mungkin mula merasai kesannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Darul Halim, Teku, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan bahawa langkah memperkukuh keterjaminan makanan perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luar yang tidak menentu.
Menurutnya, usaha membuka lebih banyak ladang padi adalah antara strategi penting untuk memastikan bekalan makanan domestik kekal stabil.
“Kita perlu memastikan daya tahan dalam negeri diperkukuh supaya bekalan makanan mencukupi dan tidak terlalu bergantung kepada import,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa institusi masjid memainkan peranan lebih luas sebagai pusat pembangunan ilmu dan kemahiran, khususnya dalam melahirkan generasi berpengetahuan tinggi.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mengingatkan mengenai cabaran teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI), yang berpotensi disalah guna untuk menyebarkan maklumat palsu dan memanipulasi identiti.
“Kita perlu menguasai AI, jika tidak kita akan dikuasai olehnya. Ilmu dan kesedaran amat penting bagi menghadapi cabaran ini,” tegas beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Oleh Tarani Lanting