TANJUNG MANIS: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh telah mempengerusikan mesyuarat naik taraf projek Pantai Belawai Fasa II, Jumaat lalu.
Katanya, mesyuarat dijalankan bersama pihak kontraktor projek tersebut bertempat di tapak binaan projek.
“Mesyuarat ini membincangkan tentang perkembangan terkini projek naik taraf Pantai Belawai yang bermula sejak Oktober 2020.
“Projek kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bernilai RM3 juta ini dijadual siap pada Jun lalu, tetapi mengalami kelewatan atas sebab kekangan kerja berikutan kita dilanda pandemik Covid-19 semenjak bulan Mac 2020,” katanya.
Tambahnya, pantai Belawai merupakan salah satu destinasi pelancongan menarik kawasan N41 Kuala Rajang dengan keindahan pantai dan deruan ombak yang mengasyikkan.
“Semoga suatu hari nanti, lebih ramai pengunjung akan bertandang ke kawasan ini menikmati keindahan pantai serta makanan yang terdapat di Kampung Belawai dan sekitarnya.
“Ini sekali gus meningkatkan sosioekonomi kawasan berkenaan setelah kita dapat membendung penularan Covid-19 ini dan setelah pembangunan jalan raya dari Sarikei ke Tanjung Manis siap kelak,” ujarnya.
Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah dan Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro, Ahmad Jerry Hashim.
Oleh EARL ANEK