LUNDU: Program Tautan Kasih Tanjong Datu yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 kembali ‘berambeh’ ke 12 lagi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu semalam.
Program yang bermula jam 9 pagi di Dewan Kampung Stunggang Melayu Lama yang menggabungkan empat Ranting iaitu Ranting Kampung Stunggang Melayu Lama, Stunggang Melayu Baru, Semunin Jaya dan Dagang.
Program diteruskan ke Dewan Kampung Gerunggang pada jam 2 petang yang menggabungkan tiga buah Ranting Kampung Gerunggang, Klaoh dan Stunggang Dayak.
Program berakhir di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu pada jam 11 malam yang menggabungkan lima buah Ranting iaitu Ranting Sileng Melayu, Sileng Dayak, Bengang, Sg Lundu dan Seketi.
Menariknya satu Ranting baharu ditubuhkan iaitu Ranting Kampung Kedaong sengan borang keahlian diserahkan kepada Setiausaha Cawangan PBB Tanjong Datu, KR Abdul Razak Abdul Wahab.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu yang mewakili ADUN N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan dalam ucapannya menyeru agar ahli PBB menambah keahlian baharu bagi golongan Belia dan Beliawanis dan mendaftarkan mereka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masa depan negara terletak di tangan mereka.
Di samping itu, beliau juga menyeru agar semua menghargai pembangunan yang telah dilakukan sekarang.
Kata beliau, selama 22 bulan dengan keadaan politik yang terumbang-ambing telah banyak mengajar tentang perlunya keputusan cemerlang Pilihan Raya Negeri (PRN) agar pembangunan dapat diteruskan, selain menunjukkan sokongan tidak berbelah-bagi kepada Ketua Menteri Sarawak.
Hadir sama, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri Sarawak, Haji Helmi Hazemi. Naib Ketua Cawangan PBB Tanjong Datu, Pemanca Benjamin Gersit Jais. Setiausaha Cawangan, KR Abdul Razak Abdul Wahab. Ketua Pergerakan Wanita, KR Fatimah Abdullah dan semua AJK Ranting PBB Tanjong Datu.
Oleh Diyana Samsuddin