SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 bukan sahaja berjaya mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian pelbagai perkhidmatan, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila mencatatkan hasil jualan usahawan tempatan mencecah RM334,932.50 sepanjang tiga hari penganjurannya.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom berkata, kejayaan program itu merupakan hasil kerjasama semua pihak, termasuk petugas di belakang tabir yang memainkan peranan penting memastikan kelancaran penganjurannya.
“Sesungguhnya kejayaan sesuatu program bukan hanya bergantung kepada apa yang dapat dilihat di atas pentas tetapi juga kepada usaha mereka yang bekerja di belakang tabir.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang telah memainkan peranan masing-masing dengan penuh dedikasi,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, hari ini.

Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata, Program Sarawakku Sayang merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang membawa kerajaan lebih dekat kepada rakyat melalui penyampaian pelbagai perkhidmatan, maklumat dan inisiatif pembangunan secara terus kepada masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat di samping memupuk semangat perpaduan, kebersamaan dan kasih sayang yang menjadi asas kepada kemajuan negeri kita.
“Saya difahamkan sebanyak 45 agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan telah mengambil perhatian melalui gerai pameran dan kuanter perkhidmatan.
“Penyertaan yang begitu memberansangkan ini membolehkan masyarakat mendapatkan pelbagai maklumat serta urusan secara terus agensi-agensi kerajaan tanpa perlu mengunjungi pejabat masing-masing,” katanya.
Tambahnya, ia bukan sahaja memudahkan rakyat, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, mesra dan berkesan.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan penyertaan 50 usahawan tempatan yang mengendalikan gerai jualan sepanjang program berlangsung, sekali gus memberi peluang kepada mereka mempromosikan produk tempatan dan menjana pendapatan.
“Ini membuktikan bahawa program SKS bukan sekadar menjadi platform penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dengan membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Lebih membanggakan lagi, keseluruhan hasil jualan yang direkodkan para usahawan dianggarkan mencecah RM334,932.50.
“Ini merupakan satu petunjuk yang amat positif dan membuktikan program seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah merangsang ekonomi di Bahagian Sarikei,” katanya lagi.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada penganjuran program SKS yang lebih baik pada masa hadapan dengan penyertaan lebih besar daripada masyarakat, agensi kerajaan, sektor swasta dan para usahawan.
“Sesungguhnya kejayaan program SKS tidak hanya diukur melalui bilangan pengunjung dan hasil jualan semata-mata. Apa yang lebih penting ialah semangat kerjasama yang telah dipamerkan oleh semua pihak,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong.
Oleh Earl Anek




