
SAMARAHAN: Orang ramai dijemput hadir ke Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok hingga Ahad ini di tempat letak kereta Aiman Mall, Kota Samarahan, bermula 8.00 pagi hingga 10.00 malam.
Program anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan serta agensi-agensi kerajaan lain ini bertujuan membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus kepada masyarakat luar bandar melalui konsep ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’.
Antara aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program termasuk kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta, pameran serta jualan produk usahawan desa, sesi taklimat dan bengkel pembangunan komuniti, selain aktiviti riadah dan hiburan untuk seisi keluarga.
Turut diadakan ialah latihan kemahiran, persembahan artis, pertandingan Bintang Cilik, karaoke terbuka, sukaneka desa, jualan Rahmah, pertandingan mewarna, Kuiz Interaktif Kahoot!, cabutan bertuah dan banyak lagi – dengan kemasukan adalah percuma.
Program ini turut berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti usahawan luar bandar yang berpotensi memasarkan produk mereka secara dalam talian menerusi platform seperti Desamall, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Ia terbuka kepada semua penduduk Kota Samarahan dan kawasan sekitar tanpa sebarang bayaran. Orang ramai disarankan untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan maklumat bermanfaat secara langsung di komuniti mereka.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dijangka merasmikan Program PKD Mobile ini sekitar 10.00 pagi, esok di lokasi sama.
Oleh Adi Safarman