Program Kampung Siaga 221 wajar diteruskan – Lukanisman

Facebook
WhatsApp
RASMI... Dato Lukanisman Awang Sauni memasukkan plat APM tanda perasmian program sambil diperhatikan oleh Ismail Mahedin, Muhammad Helmi Halim dan William Changgan pada Program Kampung Siaga 221 di Bekenu, hari ini.

BEKENU: Program Kampung Siaga 221 wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang bencana serta kecemasan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni, berkata program berkenaan mendedahkan komuniti kepada asas pertahanan awam, pengurusan bencana serta tindakan sewajarnya yang perlu diambil ketika berdepan dengan situasi kecemasan.

Katanya, seramai 100 anggota komuniti menyertai program berkenaan, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap usaha meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Program seperti ini jelas memberi manfaat dan impak positif kepada komuniti kerana ia meningkatkan kesedaran mengenai kesan bencana serta memberi pendedahan dan latihan asas pertahanan awam sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, termasuk peralihan monsun, meningkatkan risiko berlakunya pelbagai bencana seperti kebakaran, ribut, tanah runtuh dan banjir,” katanya ketika berucap pada Program Kampung Siaga 221 di Bekenu, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, pendedahan menerusi program berkenaan mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti, sekali gus meminimumkan risiko serta mengurangkan kecederaan dan kesan buruk akibat bencana.

TERIMA KASIH… Dato Lukanisman Awang Sauni menerima cenderahati daripada Ismail Mahedin pada Program Kampung Siaga 221 di Bekenu, hari ini.

“Masyarakat turut didedahkan kepada fungsi agensi pengurusan bencana, termasuk definisi bencana, Pusat Pemindahan Sementara (PPS), aspek keselamatan dan kebajikan serta risiko penyakit berjangkit semasa dan selepas bencana.

“Paling penting, kita mahu melahirkan komuniti yang mampu bertindak sebagai first responder kepada diri sendiri, ahli keluarga dan jiran tetangga sebelum ketibaan agensi penyelamat.

“Konsep satu keluarga, satu penyelamat serta komuniti yang mempunyai pengetahuan asas mengenai pengurusan bencana seperti banjir kilat dan kemalangan kecil mampu memberi manfaat besar dalam kehidupan seharian,” katanya.

Justeru, pelaksanaan program seperti ini penting untuk membentuk komuniti yang mempunyai kesedaran dan pengetahuan tinggi mengenai tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan atau bencana, di samping meningkatkan kecekapan pengurusan bencana dalam kalangan agensi penyelamat.

Turut hadir ialah wakil rasmi Pengarah APM Sarawak Leftenan Kolonel Pertahanan Awam Ismail Mahedin, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Subis Leftenan Muda Pertahanan Awam Muhammad Helmi Halim serta wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu William Changgan.

Oleh Adum Liu